Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Adnan Yaakob nasihat Zahid jangan gelabah
Diterbitkan:  Dec 17, 2018 9:06 PM
Dikemaskini: 1:09 PM

Bekas Menteri Besar Pahang, Adnan Yaakob menasihatkan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi "jangan menggelabah" dan patut lebih berhati-hati mengeluarkan kenyataan supaya tidak mencipta lebih ramai musuh.

"Selaku orang tua, saya nasihatkan presiden jangan menggelabah dalam keadaan Umno tidak stabil.

"Jangan menambah musuh," katanya, lapor media tempatan.

BH Online memetik Adnan berkata sebahagian besar Ahli Dewan Undangan Negeri Pahang bersedia mengikut jejak langkahnya menjadi Adun bebas jika beliau berbuat demikian.

Sebaliknya, Adnan yang juga Adun Pelangai dan Ketua Umno Bahagian Bentong menjelaskan beliau cuma mengenangkan menteri besar sekarang, Wan Rosdy Wan Ismail yang dianggap sebagai saudara kandungnya.

"Saya mengenangkan Menteri Besar Wan Rosdy Wan Ismail yang saya anggap macam adik kandung.

“Saya nak beritahu, saya bukan ada pengaruh sangat. Jadi MB pun 19 tahun je. Kalau hari ini saya isytihar jadi Adun bebas, sebahagian besar Adun akan ikut saya.

Umno nampak tak tegar

“Saya bukan takbur, boleh jatuh kerajaan Barisan Nasional (BN) Pahang. Ini bukan niat saya. Setakat ini saya ahli Umno tegar. Cuma Umno nampak tak segar,” katanya lagi.

Laporan BH Online juga menyatakan kenyataan Adnan itu dikongsikan Naib Presiden Umno, Hishammuddin Hussein kepada wartawan menerusi WhatsApp apabila diminta mengulas dakwaan Ahmad Zahid berhubung wujud gerakan membeli MP dan Adun Pahang untuk berpaling tadah seterusnya menjatuhkan BN di negeri itu.

Hishammuddin dipetik laporan itu berkata Adnan menjawab dakwaan Ahmad Zahid dan kemudian dikongsikan kepada pemimpin tertinggi Umno.

Let Pahang leaders answer u my friend. Mantan MB has spoken. Rahman Mohamad, Ahli Parlimen Kuala Lipis has also answered Press’,” kata Hishammuddin, petik BH Online lagi.

Semalam, Ahmad Zahid berkata ada gunting dalam lipatan yang berusaha menumbangkan kerajaan BN di Pahang dengan membawa MP dan Adun Umno berpaling tadah.


BACA: Zahid: Pahang hati-hati, ada 'gunting dalam lipatan'


Mengulas lanjut, Adnan dipetik berkata kenyataan Ahmad Zahid itu sebagai terlalu rambang.

“Kenyataan presiden ini tersangat rambang.

“Setahu saya Hishammuddin... tidak pernah menghubungi sesiapa di Pahang untuk mengajak ahli parlimen atau Adun Pahang meninggalkan Umno.

“Soal dapat maklumat, tak perlu jadi ‘menteri polis’, ‘menteri askar’. Pernah jadi menteri besar kecil pun banyak dapat maklumat, termasuk maklumat sulit mengenai presiden.

“Tulisan saya bukan sebab ‘siapa makan cili, dia terasa pedas’. Saya wajib jawab sebab kenyataan presiden dibuat dalam konteks Umno Pahang,” katanya.

Sementara itu, Adnan juga mendedahkan beliau telah bertemu Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

“Saya tidak pernah minta jumpa Tun (Dr Mahathir). Tun yang panggil saya jumpa beliau. Sebelum berjumpa Tun saya menyembah maklum kepada Pemangku Raja dan memaklumkan kepada Menteri Besar.

“Perjumpaan dengan Tun selama setengah jam berkisar masa depan Melayu. Saya baru sekali saja sekali berjumpa Tun” katanya.

Lihat Komen
ADS