Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Najib: Saya tertekan, terpaksa pinjam nak tampung belanja
Diterbitkan:  Dec 17, 2018 10:43 PM
Dikemaskini: 2:43 PM

Bekas perdana menteri Najib Razak berkata hari ini beliau terpaksa meminjam wang bagi menampung perbelanjaan dan duit ikat jamin.

Najib membuat pendedahan itu selepas ditanya dalam suatu wawancara jika beliau merasa tertekan selepas dikenakan 39 pertuduhan jenayah dengan wang ikat jamin sekitar RM6 juta.

"Memang. Itu memang sesuatu saya tak dapat bayangkan, memang tertekan dan terpaksa pinjam dari pihak tertentu untuk tampung perbelanjaan atau ikat jamin begitu besar

"Banyak masa naik turun mahkamah tapi apakan daya itu sudah dilakukan oleh pihak tertentu. Kita akan teruskan pembelaan saya seberapa yang mampu. Mudah-mudahan kita dapat tentukan kebenaran," katanya pada temu bual dalam talian yang disiarkan Nothing to Hide Media.

Wawancara itu dilakukan Mohd Puad Zarkashi, bekas pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) yang kini telah ditutup.

Najib dituduh menyelewengkan berbilion ringgit daripada syarikat pelaburan kerajaan 1MDB ketika menjadi perdana menteri dan menghadapi banyak tuduhan jenayah membabitkan kes itu, yang dinyatakan Jabatan Keadilan (DOJ) AS sebagai kes kleptokrasi terbesarnya.

Bergantung pada perbicaraan adil

Najib menafikan sebarang salah laku, berkata peguamnya yakin dapat menang.

Walau bagaimanapun, beliau berkata ini bergantung kepada perbicaraan yang adil dan sama ada para hakim yang mendengar kesnya menghadapi tekanan dari kerajaan atau tidak.

Najib juga mengulas isu salah urus kewangan yang membabitkan Lembaga Tabung Haji, mendakwa ia bukan kes rasuah.

"Mual bila dilontarkan isu ini. Pada fikiran rakyat mungkin ada wang yang hilang ke disonglap," jelas bekas perdana menteri.

Bekas presiden Umno itu juga menyebut laporan Ernst and Young mengenai akaun Tabung Haji.

Beliau bertegas aset Tabung Haji lebih banyak daripada liabilitinya.

"Maknanya tiada kesalahan... tiada salah dari segi peraturan cuma sama ada hibah tinggi patut dibayar atau tidak. Itu persoalannya.

"Tapi kalau dapat dividen deposit yang untung. Duit itu tak ke mana," katanya.

Audit daripada PriceWaterhouseCoopers mendapati Tabung Haji telah mengubah akaunnya untuk menyembunyikan defisitnya supaya dapat membenarkan bayaran dividen kepada pendeposit.

Ia juga menyebut Tabung Haji pada dasarnya telah membayar dividen menggunakan dana pendeposit.

Mengenai isu lain, Najib mendakwa perhimpunan membantah konvensyen PBB mengenai keadilan dan kesaksamaan kaum, Icerd lebih besar daripada perhimpunan Bersih.

Ia mendakwa perhimpunan anti-Icerd melambangkan keinginan rakyat untuk menyatukan umat Islam.

Bagaimanapun, katanya walaupun Umno dan PAS boleh bekerjasama, mereka harus sentiasa mengekalkan "jenama" masing-masing.

Lihat Komen
ADS