Paling Popular
Terkini

PAS berpendirian tiada keperluan untuk menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) bagi menyiasat kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim akibat dipukul ketika bertugas di kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya, pada 27 November lalu.

Naib Presiden PAS, Mohd Amar Nik Abdullah, berkata ketika ii polis sudah mengklasifikasikan semula siasatan kes kematian anggota bomba itu daripada cuba bunuh kepada bunuh.

"Peringkat ini tidak perlu RCI, cuma kita harap polis bertindak dengan adil dan segera supaya keadilan boleh diberikan kepada arwah serta keluarganya. Perkara ini yang lebih penting.

"Kita tidak mahu kes ini akan menerima campur tangan politik serta ada usaha melambatkan siasatan dijalankan. Ini kerana kes ini membabitkan nyawa manusia dan perkara itu tidak sepatutnya berlaku," katanya ketika ditemui selepas mesyuarat mingguan exco di Kompleks Kota Darul Naim, Kota Bharu, hari ini.

Terdahulu Malaysiakini melaporkan kes kematian Muhammad Adib kini diklasifikasikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Susulan itu, beberapa pihak tampil menggesa supaya kerajaan menubuhkan RCI bagi menyiasat kes tersebut secara adil.

Cadangan itu antaranya dilontarkan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi.

Kata Ahmad Zahid, RCI itu perlu ditubuhkan bukan sahaja bagi menyiasat unsur jenayah dalam kematian Muhammad Adib, tetapi juga bagi menyiasat rusuhan kuil.

“RCI mesti ditubuhkan untuk siasatan menyeluruh terhadap kematian Muhammad Adib dan kejadian di kuil.

"Ia bukan sekadar siasatan jenayah tetapi juga kenyataan pembohongan oleh sekumpulan orang yang menggunakan agama untuk seleweng fakta. Keadilan untuk Muhammad Adib mesti ditegakkan," katanya.

Sementara itu, Mohd Amar yang juga timbalan menteri besar Kelantan berkata, pihaknya turut berdukacita dan mengucapkan takziah atas kejadian yang menimpa Muhammad Adib.

"Apa pun kita simpati dengan apa yang berlaku dan menuntut supaya keadilan dapat diberikan kepada Allahyarham Muhammad Adib," jelasnya.

Lihat Komen
ADS