Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Zahid: RCI kematian Adib juga perlu siasat rusuhan kuil
Diterbitkan:  Dec 18, 2018 3:37 PM
Dikemaskini: 7:37 AM

Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi menggesa Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan bagi menyiasat kematian anggota bomba Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.

Kata Ahmad Zahid, RCI itu perlu ditubuhkan bukan sahaja bagi menyiasat unsur jenayah dalam kematian Muhammad Adib, tetapi juga bagi menyiasat rusuhan kuil.

“RCI mesti ditubuhkan untuk siasatan menyeluruh terhadap kematian Muhammad Adib dan kejadian di kuil. 

"Ia bukan sekadar siasatan jenayah tetapi juga kenyataan pembohongan oleh sekumpulan orang yang menggunakan agama untuk seleweng fakta. Keadilan untuk Muhammad Adib mesti ditegakkan," ciapnya di Twitter.

Bagaimanapun, Ahmad Zahid tidak menyebutkan nama pihak yang dimaksudkannya.

Muhammad Adib, 24 merupakan anggota bomba yang cedera parah dalam insiden rusuhan berhampiran Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya 27 Nov lalu.

Setelah hampir tiga minggu bertarung nyawa, Muhammad Adib meninggal dunia di Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur, pada jam 9.41 malam, semalam.

Sebelum ini, pihak pengurusan kuil dalam satu sidang media mendakwa Muhammad Adib dilanggar lori bomba yang sedang berundur dan bukannya dipukul.

Ketua Pengarah Bomba Mohammad Hamdan Wahid bagaimanapun menafikan dakwaan itu.

Kementerian Dalam Negeri kemudian turut mengesahkan bahawa Muhammad Adib dipukul perusuh.

Susulan kematian Muhammad Adib, Timbalan Ketua Polis Selangor Ab Rashid Ab Wahab mengumumkan kes berkenaan sebagai kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Lihat Komen
ADS