Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pulau Kukup: Kenapa libatkan pemangku Agong, soal TMJ
Diterbitkan:  Dec 19, 2018 8:17 PM
Dikemaskini: 12:19 PM

Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim mempersoalkan tindakan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar yang menurutnya melibatkan Pemangku Yang di-Pertuan Agong Sultan Nazrin Shah dalam isu status Pulau Kukup.

Ia susulan kenyataan Xavier hari ini bahawa Sultan Nazrin telah menyatakan sokongan ke atas pendirian kerajaan persekutuan agar status Pulau Kukup kekal sebagai Taman Negara ketika Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menghadapnya 12 Disember lalu.

Menerusi Twitter, Tunku Ismail berkata Sultan Nazrin Shah tidak berkata apa-apa tentang perkara itu.

"Yang kedua, mengapa libatkan (pemangku) Agong? Apa yang anda cuba lakukan? Isu ini sudah selesai.

"Ketiga, perdana menteri kecewa kerana nampaknya beliau menerima makluman daripada beberapa orang di sekelilingnya bahawa keluarga diraja Johor akan membangunkan pulau itu," ciapnya.

 

Dalam ciapan seterusnya, Tunku Ismail menggesa kerajaan "berhenti berkempen" memandangkan PRU sudah selesai.

"Sekarang masa untuk menjalankan tugas. Jangan cuba alihkan perhatian...cuba menggunakan isu lain sebagai helah. Fokus kepada kemajuan negara."

Dalam kenyataan hari ini, Xavier juga berkata kerajaan persekutuan berhak untuk mengambil berat dalam isu tersebut dan penukaran status Pulau Kukup - kepada tanah kesultanan - boleh memberi kesan kepada reputasi negara dalam soal pengurusan kawasan berkepentingan antarabangsa.

Menurut Enakmen Tanah Kesultanan, mana-mana tanah yang diwarta di bawahnya menjadi milik sultan.

Pada 12 Disember lalu, Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar memberi jaminan status Pulau Kukup kekal sebagai Taman Negara Johor walaupun dimasukkan ke Jadual ke II enakmen itu.

Bagaimanapun peguam N Surendran berkata undang-undang Taman Negara Johor manyatakan hanya tanah milik kerajaan negeri boleh diwartakan sebagai Taman Negara.

Justeru, katanya lagi, satu-satunya cara untuk mewartakan semula pulau itu adalah dengan kerajaan Johor sekali lagi menjadi pemiliknya.

Lihat Komen
ADS