Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Menteri: Pemangku Agong sokong status Pulau Kukup kekal
Diterbitkan:  Dec 19, 2018 5:34 PM
Dikemaskini: 12:19 PM

Usaha kerajaan persekutuan untuk mengekalkan status Pulau Kukup sebagai taman negara mendapat sokongan pemangku Yang di-Pertuan Agong Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, kata Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar.

"Pemangku Yang di-Pertuan Agong telah menzahirkan sokongan ke atas pendirian kerajaan persekutuan berhubung perkara ini semasa Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menghadap Baginda pada 12 Disember lalu.

"Kerajaan persekutuan mempunyai hak untuk mengambil berat dalam isu ini bagi memastikan sumber asli negara yang amat berharga dapat dipelihara untuk kesejahteraan hidup rakyat.

"Kementerian bertanggungjawab dalam pengurusan sumber asli dan titik temu di peringkat antarabangsa memandang serius perkara ini kerana penukaran status Pulau Kukup boleh memberi kesan kepada reputasi negara dalam menguruskan kawasan berkepentingan antarabangsa bawa Konvensyen Ramsar," katanya dalam kenyataan hari ini.

Tapak Ramsar adalah lahan basah yang mempunyai kepentingan antarabangsa berdasarkan Konvensyen mengenai Tanah Lembap yang Berkepentingan Antarabangsa PBB.

Kerajaan persekutuan terus bertegas status pulau itu perlu kekal sebagai taman negara mengikut undang-undang.

Isu ini timbul selepas pentadbiran BN sebelum ini meluluskan langkah untuk membatalkan warta itu dan menukar statusnya kepada tanah kesultanan.

Menurut Enakmen Tanah Kesultanan, mana-mana tanah yang diwarta di bawahnya menjadi milik sultan.

Pada 12 Disember lalu, Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar memberi jaminan status Pulau Kukup kekal sebagai Taman Negara Johor walaupun dimasukkan ke Jadual ke II enakmen itu.

Bagaimanapun peguam N Surendran berkata undang-undang Taman Negara Johor manyatakan hanya tanah milik kerajaan negeri boleh diwartakan sebagai Taman Negara.

Justeru, katanya lagi, satu-satunya cara untuk mewartakan semula pulau itu adalah dengan kerajaan Johor sekali lagi menjadi pemiliknya.

Terdahulu Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim membidas kerajaan persekutuan kerana masuk campur dalam isu itu, yang menurutnya bawah bidang kuasa negeri.

Lihat Komen
ADS