Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kakitangan Honda perlekeh kematian Adib dibuang kerja
Diterbitkan:  Dec 20, 2018 4:33 PM
Dikemaskini: 8:57 AM

Pekerja wanita pusat edaran Honda Malaysia yang digantung baru-baru ini ekoran kenyataan tidak sensitif mengenai kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim, telah dipecat.

"Kami ingin memberi makluman bahawa selepas siasatan dalaman dijalankan dan pekerja itu didapati melanggar dasar syarikat dengan salah lakunya, khidmat pekerja itu dengan Sri Utama Auto Sdn Bhd sudah ditamatkan serta-merta," kata pengarah pusat edaran itu Wong Chee Keong.

"Kami sekali lagi ingin memohon maaf atas kesan yang berpunca daripada komennya. Kami akan lebih memberi perhatian dalam melatih dan mendidik pekerja kami dengan nilai moral dan sikap hormat kepada semua pihak pada setiap masa," katanya lagi.

Pada 18 Disember lalu, komen pekerja wanita itu di media sosial menjadi tular, menyebabkan syarikat itu menggantung tugasnya dan melancarkan siasatan dalaman.

Pemuda Umno Setiawangsa membuat laporan polis terhadapnya dan beberapa individu lain berikutan komen mereka di media sosial.

Adib, 24, merupakan salah seorang anggota penyelamat yang ditugaskan selepas sejumlah kenderaan dibakar ketika rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya, 26 November lalu.

Polis mendakwa Adib diheret keluar daripada kenderaannya dan dibelasah, menyebabkan beberapa tulang rusuknya patah dan mengalami kecederaan dalaman.

Selepas menjalani rawatan di Institut Jantung Negara, Adib akhirnya meninggal dunia pada 17 Disember. Polis mengklasifikasikan semula kes itu sebagai kes bunuh.

Lihat Komen
ADS