story images
story images
mk-logo
Berita
Honda minta maaf, gantung kakitangan perlekeh kematian Adib
Diterbitkan:  Dec 18, 2018 7:00 AM
Dikemaskini: 7:00 AM

Honda Malaysia mengeluarkan permohonan maaf atas kenyataan tidak sensitif seorang kakitangan wanita di pusat edarannya mengenai kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim.

"Honda Malaysia memohon maaf atas komen yang tidak peka dan tidak sewajarnya oleh (wanita) yang bekerja di pusat edaran kami mengenai kematian menyayat hati anggota bomba yang berani, Adib.

"Komennya bercanggah dengan nilai-nilai Honda dan kami tidak menerima tingkah laku ini. Kami ingin menegaskan pendirian Honda untuk menghormati semua orang dan individu," kata syarikat itu dalam satu kenyataan hari ini.

Difahamkan wanita itu digantung tugas dan siasatan dalaman sedang dijalankan.

Honda berkata syarikat itu juga akan menghantar memo kepada pusat-pusat edarannya untuk menasihati kakitangannya supaya menunjukkan perilaku yang baik.

Terdahulu, wanita berkenaan mengeluarkan kenyataan tidak sepatutnya mengenai kematian Adib di media sosial.

Dalam kejadian awal pagi 27 Nov lalu, Muhammad Adib mengalami cedera parah dipercayai selepas dipukul sekumpulan perusuh di hadapan kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya.

Allahyarham ketika itu, menyertai operasi memadam kebakaran di hadapan kuil berkenaan.

Polis setakat ini menahan empat suspek yang dipercayai  menyerang Adib dan mereka kini dibebaskan dengan ikat jamin.

Susulan kematian anggota bomba berusia 24 tahun itu semalam, kes itu kini diklasifikasikan sebagai kes bunuh.

Lihat Komen
Paling Popular
Terkini