Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Larry Sng: PH perlu lebih masa menangi hati orang Sarawak

WAWANCARA | Beberapa bulan selepas berlalunya PRU ke-14, ramai yang sudah pun melihat ke arah pilihan raya negeri (PRN) Sarawak yang akan diadakan pada 2021.

DAP telah menyatakan hasrat bertanding di 29 daripada 82 kerusi DUN, sementara Bersatu Sarawak dilancarkan awal bulan ini.

Ketika pelancaran itu, Pengerusi Bersatu dan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menyatakan secara jelas matlamat Pakatan Harapan (PH) untuk "menukar kerajaan" di sana.

Anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR Larry Sng pula menyatakan perkara berbeza. Beliau berpandangan Bersatu perlu lebih dari tiga tahun untuk mendapat pengaruh yang cukup di negeri kelahirannya.

"Sebagai parti baru, mereka mungkin perlu lebih banyak tahun untuk menembusi Sarawak.

"Orang Sarawak agar berwaspada, (sudah) banyak parti tempatan. Dalam kes PKR dan DAP, PKR mengambil masa 20 tahun dan DAP lebih lama lagi untuk berada di kedudukan sekarang di negeri itu.

"Jadi saya tak jangka parti lebih baru akan raih lebih sokongan. Tetapi sebagai parti nasional, saya yakin selepas satu sela masa mereka akan dapat meyakinkan pengundi Sarawak yang (Bersatu) dapat mewakili mereka secara berkesan," katanya ketika wawancara bersama Malaysiakini baru-baru ini.

Pada PRN 2016, BN menang besar dengan menguasai 72 kerusi DUN.

Ia dikaitkan dengan sokongan terhadap bekas Ketua Menteri Allahyarham Adenan Satem yang menekankan autonomi negeri yang lebih besar serta sentimen 'Sarawak untuk orang Sarawak' yang kuat.

Perpecahan BN selepas PRU ke-14 menyaksikan parti komponennya di Sarawak menubuhkan gabungan baru - Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Dalam PRN akan datang, Sng menjangka GPS akan meletakkan diri sebagai alternatif tempatan kepada PH, dan sekali lagi membawa sentimen 'Sarawak untuk orang Sarawak'.

"PH perlu berdepan dengan isu ini dan pastinya bukan melawannya. Kita perlu menanganinya dan juga menyatakan apa tawaran PH kepada rakyat Sarawak secara umumnya.

"Apa makna 'Malaysia Baru' untuk rakyat Sarawak bawah PH?" katanya lagi.

Sebelum menyertai PKR tiga hari selepas 9 Mei, Sng menghabiskan 17 tahun kerjaya politiknya di tiga parti tempatan - Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Pekerja Sarawak (SWP).

Berusia 39 tahun, beliau juga menjadi menteri muda dalam kerajaan negeri BN sejak 2004 hingga 2011.

PKR perlu lebih berani, terbuka

Menariknya, pada PRU lalu Sng betanding di Julau - sebuah kawasan parlimen di pedalaman - sebagai calon bebas dan berjaya mengalahkan penyandang daripada BN.

Beliau mengaitkan kemenangan itu dengan kemampuannya "membina gabungan" dengan pelbagai pihak berkepentingan susulan kedudukannya yang tidak mewakili mana-mana parti.

"Kami berjaya membina gabungan di kalangan kumpulan yang tak berpuas hati dan dengan mereka yang tidak semestinya menyokong pembangkang. Kami ada penyokong dari BN dan parti-parti lain.

"Jika saya masuk PKR (sebelum PRU), saya mengecilkan tapak sokongan saya."

Berdasarkan pengalaman itu, beliau berkata PKR perlu mula mengadakan kerjasama melangkaui lingkungan parti untuk meluaskan tapak sokongan.

Katanya, parti itu juga perlu lebih berani pada PRN akan datang dengan bertanding di kawasan yang bukan kubu kuat tradisi mereka.

Cadangan ketiga Sng adalah agar PKR menjadi lebih terbuka dalam soal pemilihan calon terutama dengan memberi ruang kepada bakat dan anggota baru memegang jawatan penting dan menjadi calon.

Pada 2016, PKR bertanding di 35 kerusi DUN dan menang tiga - Ba'kelalan, Batu Lintang dan Krian.

Berkenaan peranannya, Sng berkata beliau akan terus dengan kaedah membina gabungan, tetapi menyerahkan kepada kepimpinan untuk menentukan jawatan rasminya.

"Sebagai anggota baru, banyak yang perlu saya belajar. Cita-cita saya pun tidaklah terlalu tinggi," katanya.

Satu-satunya wakil Sarawak dalam MPP PKR, beliau sebelum ini berkata tidak berhasrat mengemudi PKR Sarawak.

Presiden PKR Anwar Ibrahim kemudian mengumumkan Menteri Kerja Raya Baru Bian dipilih semula sebagai pengerusi negeri.

Lihat Komen
ADS