Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Pengerusi baru PKR Kelantan baik dengan istana, Anwar, PM'

Pemilihan Mohamad Suparadi Md Noor sebagai pengerusi PKR Kelantan nampaknya mendapat 'majoriti mudah' daripada cabang-cabang parti di negeri itu.

Hari ini lapan daripada 14 ketua cabang PKR Kelantan - termasuk Suparadi - mengadakan sidang media bagi menyatakan sokongan terhadap pelantikan itu.

Ketua PKR Pasir Puteh Ismail Muhamad berkata, hubungan baik Suparadi dengan pihak istana Kelantan akan memberi kelebihan kepada parti di sana.

"Kita perlukan pengerusi yang merupakan orang kuat istana. Suparadi adalah ahli jawatankuasa Majlis Orang-orang Besar Diraja Kelantan.

"Hubungan beliau dan istana intim dan ia akan memudahkan PKR berurusan dengan istana," katanya ketika sidang media itu di Kota Bharu, hari ini.

Antara ketua cabang yang menyertai sidang media itu ialah Kota Bharu, Bachok, Pasir Puteh, Machang dan Pasir Mas.

Terdahulu, lantikan Suparadi oleh Presiden PKR Anwar Ibrahim dipertikai pihak dalaman PKR Kelantan yang antara lain mendakwa beliau terpalit dengan kes rasuah dan masih berstatus ahli Umno.

Malah 12 ahli jawatankuasa PKR Tanah Merah - cabang Suparadi sendiri - membuat akuan bersumpah dan undi tidak percaya kepadanya atas dua dakwaan itu.

Suparadi menafikan dakwaan masih ahli Umno dengan sebab keahliannya terbatal serta-merta selepas menyertai PKR.

Mengulas lanjut, Ismail mendakwa Suparadi mempunyai hubungan baik dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad kerana diberi tanggungjawab mempengerusikan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional.

"Jika tiada hubungan baik dengan perdana menteri beliau tak akan dipilih. Ia satu jawatan penting untuk membantu orang atau kawan-kawan kita yang ingin berniaga," katanya lagi.

Sebab terakhir mereka menyokong pemilihan Suparadi menurutnya adalah hubungan baik beliau dengan Anwar sendiri.

Dengan tiga kelebihan itu, kata Ismail, semua pihak dalam PKR wajar memberi sokongan kepadanya demi keutuhan parti di masa akan datang.

Sementara itu, Suparadi menggesa Naib Ketua PKR Ketereh Mohd Sukirman Mustafa menarik balik dakwaan beliau terlibat dengan rasuah sehingga disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

"Nak pertikai keputusan presiden (atas pelantikannya) itu hal dia, tetapi apabila menyentuh soal peribadi ia menjejaskan reputasi saya sebagai ahli perniagaan, ahli politik dan pemegang jawatan dalam badan berkanun.

"Saya sudah sediakan peguam untuk meneliti dan menyediakan dokumen berkaitan sebagai persiapan jika dia enggan menarik balik dakwaan," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS