Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Perbalahan maritim antara Malaysia-Singapura
Diterbitkan:  Dec 24, 2018 3:33 PM
Dikemaskini: 7:41 AM

Malaysia dan Singapura kini terlibat dalam satu lagi pertikaian diplomatik, kali ini membabitkan had pelabuhan Johor Bahru dan Singapura.

Pertikaian terbaru tertumpu di bahagian barat selat Johor, berdekatan Tuas.

Ia merupakan salah satu daripada dua pertikaian wilayah antara kedua-dua negara itu bulan ini dan satu lagi membabitkan prosedur Seletar ILS (Sistem Pendaratan Instrumen) yang baru.

Malaysia dan Singapura setuju berkongsi sempadan bersama, berdasarkan perjanjian yang ditandatangani antara kedua-dua negara pada 7 Ogos 1995.

Bagaimanapun, masih ada bahagian sempadan Malaysia-Singapura yang tidak memikili persetujuan bersama.

Permulaan krisis

Sekitar tahun 2002, satu pertikaian berlaku terhadap rancangan Singapura menuntut semula kawasan laut di sekitar Tuas.

Malaysia mendakwa ia akan menghalang akses ke pelabuhan Malaysia dan merosakkan alam sekitar di selat itu.

Kes itu dibawa ke Tribunal Antarabangsa bagi Undang-Undang Laut di Hamburg, Jerman pada 8 Oktober 2003.

Akhirnya, kompromi dapat dicapai yang membolehkan penambakan diteruskan sementara kepentingan Malaysia dilindungi.

Sebagai sebahagian daripada penyelesaian pada 1 September 2005, kedua-dua pihak bersetuju menyelesaikan isu sempadan maritim melalui rundingan.

Seorang pegawai kerajaan Malaysia yang tidak mahu namanya disiarkan memberitahu Malaysiakini bahawa rundingan itu tidak berlaku.

Dalam pada itu, kedua-dua negara telah mengisytiharkan sempadan untuk pelabuhan mereka.

Had Pelabuhan Johor Bahru diperluaskan dari pintu masuk barat Selat Johor ke Tambak Johor (tidak ditunjukkan).

Sementara itu, had pelabuhan Singapura melebar ke seluruh pulau. Sebahagian daripadanya adalah di sepanjang had pelabuhan Johor Bahru.

Sehingga baru-baru ini, kawasan berhampiran Tuas tidak dikawal oleh mana-mana pihak berkuasa pelabuhan. Ia terletak di luar sempadan yang dipersetujui pada tahun 1995.

Bagaimanapun, Malaysia dan Singapura masih mendakwa ia kawasan perairan wilayah mereka.

Tuding menuding

Pada 25 Okt 2018, kerajaan Malaysia memulakan langkah.

Kementerian Pengangkutan Malaysia telah mewartakan sempadan baru bagi Pelabuhan Johor Bahru.

Ini memperluaskan had pelabuhan Johor Bahru berhampiran Tuas sehingga had pelabuhan Singapura iaitu jarak sejauh 2.8 kilometer.

Seorang pegawai Malaysia memberitahu Malaysiakini bahawa Kementerian Pengangkutan telah memantau perairan tersebut selama berbulan-bulan.

Ia mendapati bahawa pihak berkuasa Singapura tidak melakukan rondaan di kawasan tersebut.

 Sementara itu, aktiviti haram turut disyaki berlaku di perairan itu.

Oleh itu, had pelabuhan telah diperluaskan untuk mengawal keadaan.

Komuniti maritim telah diberitahu tentang perubahan ini melalui pekeliling pelabuhan pada 11 Nov 2018, dan pemberitahuan kepada kapal marin pada 22 Nov.

Pada 30 Nov, 2018, Singapura mula memberikan respons.

Pihak Berkuasa Marin dan Pelabuhan Singapura mengeluarkan pekeliling bagi memberitahu kapal marin untuk mengabaikan notis Malaysia.

Ia berkata perairan wilayah Singapura memanjang ke barat melangkau had pelabuhannya berhampiran Tuas dan kapal di kawasan itu mematuhi undang-undang Singapura.

Pada 4 Dis, 2018, Jabatan Laut Malaysia mengeluarkan pekeliling pelabuhan yang menegaskan bahawa had pelabuhan Johor Bahru berada dalam perairan wilayah Malaysia.

Ia juga memberitahu kapal-kapal yang menjalankan pemindahan kapal ke kapal dalam had pelabuhan Johor Bahru untuk kekal di kawasan itu, melainkan jika pihak jabatan membenarkan sebaliknya.

Pada hari yang sama, Singapura membuat bantahannya kepada umum. Inilah kali pertama pertikaian itu ditonjolkan di akhbar.

Malaysia menafikan menceroboh perairan Singapura dan mengatakan bahawa perairan itu sentiasa berada di wilayah Malaysia.

Singapura bagaimanapun tidak bersetuju dan menegaskan bahawa wilayahnya memanjang ke arah barat dari had pelabuhannya di Tuas.

Pada 6 Dis, 2018, Singapura telah mewartakan perluasan had pelabuhan Singapura ke kawasan Malaysia yang didakwa negara ini sebagai had pelabuhan Johor Bahru.

Pada ketika ini, had pelabuhan Johor Bahru dan Singapura telah melangkaui (overlap) lebih daripada 1,100 hektar.

Menteri Pengangkutan Singapura Khaw Boon Wan berkata perluasan itu dibuat sebagai tindak balas terhadap pencerobohan berulang oleh kapal kerajaan Malaysia ke perairan itu.

Beliau mendakwa terdapat 14 pencerobohan sehingga 6 Dis 2018.

Beliau seterusnya menggesa Malaysia menghentikan "pencerobohan" dan kembali ke status quo sebelum 25 Okt 2018 sementara rundingan lanjut dilakukan.

Pihak Berkuasa Laut dan Pelabuhan Singapura mengumumkan perluasan itu kepada marin pada hari yang sama dan mengingatkan mereka untuk mematuhi "peraturan pelabuhan yang terpakai" apabila berada dalam had pelabuhannya.

Rundingan redakan ketegangan

Pada 7 Dis, 2018, Malaysia mencadangkan supaya kedua-dua negara tidak menghantar lebih banyak kapal ke kawasan yang dipertikaikan, sementara menunggu penyelesaian pertikaian tersebut.

Singapura menolak cadangan itu.

Malaysia menolak cadangan Singapura untuk kembali ke had pelabuhan sebelum 25 Oktober sementara perkara itu dibincangkan.

Perdana Menteri Malaysia Dr Mahathir Mohamad berkata kapal Malaysia akan kekal di kawasan yang dipertikaikan itu.

Kedua-dua belah pihak kini berusaha untuk meredakan ketegangan.

Di Malaysia, negara ini mengurangkan kehadiran kapalnya di kawasan yang dipertikaikan tetapi enggan menarik diri sepenuhnya.

Pegawai dari kedua-dua negara kini akan bertemu pada minggu kedua Januari 2019 untuk berunding bagi memecahkan kebuntuan.

Lihat Komen
ADS