Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

WAWANCARA | Menteri Pembangunan Luar Bandar Rina Harun yang dilihat kurang dikenali berbanding menteri kabinet lain menganggap prestasi kerja lebih penting daripada populariti.

Rina yang merupakan anggota parlimen Titiwangsa menafikan beliau seorang pemalu atau rendah diri.

Sebaliknya, jelas Rina, tugas kerjanya memerlukannya lebih banyak meluangkan masa di luar bandar.

"Bukan nak merendah diri, tapi banyak sangat kerja nak kena buat. Kalau saya terlampau mengejar glamour, saya boleh bercakap itu,m ini. Tapi ada tak akhirnya pelaksanaan itu dibuat?

"Saya bercakap apabila perlu dan rakyat ni yang kita nak berikan keutamaan. Maklumlah saya ni menteri luar bandar, saya pergi ke dalam kampung, ke sawah, mungkin tak ada (media) yang bersama.

"Bukanlah saya pemalu ke apa, tapi saya lebih pilih untuk melaksanakan kerja-kerja yang diamanahkan," katanya ketika ditemubual di ibu pejabat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Petaling Jaya baru-baru ini.

Ketua Wanita Bersatu itu juga ditanya sama ada pendekatan kerjanya itu akan mempengaruhi reputasinya di mata umum.

"Itulah semua orang ingat macam itu. Tapi sebenarnya saya pun ada KPI (petunjuk prestasi utama) sendiri - KPI tahunan.

"Apa yang penting kalau ada jalan raya, bekalan air, elektrik, lampu jalan (di kawasan luar bandar). Dan setiap apa saya nak buat ni saya akan rujuk kepada perdana menteri. Jadi dia benar-benar tahu apa yang saya lakukan," katanya.

Bagaimanapun, Rina tetap mengakui reputasi di mata umum memainkan peranan.

"Mungkin penting juga. Saya rasa populariti itu penting tapi ia haruslah selari dengan pelaksanaan kerja," katanya. 

Tak lantang jawab isu semasa

Ketika sesi temubual tersebut, Rina yang merupakan graduan pengajian perbankan Universiti Northwood, AS dilihat amat berhati-hati menjawab soalan yang dikemukakan pemberita, sama ada mengenai kementeriannya mahupun tentang partinya.

Selain itu, dalam tempoh lebih enam bulan menjadi menteri, beliau dilihat jarang mengambil baris depan dalam memberi respons isu semasa berbanding menteri kabinet dari Bersatu yang lain.

Diminta mengulas perkara itu, Rina sekali lagi tidak menjawab secara langsung, namun memberi gambaran bahawa perbezaan pandangan yang ketara dalam kalangan pemimpin memberi persepsi tidak baik kepada rakyat.

"Kita perlu dilihat sebagai satu pasukan. Apa yang kita cakap mesti selari dengan apa kepimpinanan di atas katakan. 

"Sebagai sebuah kerajaan yang baru kita mesti dilihat kuat. Kita sesama sendiri pun kita nak lihat begitu kuat supaya memberi keyakinan kepada rakyat.

"Katakanlah, kita raikan pelbagai pandangan tapi sebagai pemimpin kalau ada perbezaan yang terlampau ketara sudah pasti ia akan beri persepsi kepada rakyat. Adakah kerajaan yang dipilih ini tak bersatu hati. Jadi itu yang kita nak cuba elakkan," katanya.

Dilahirkan di Tanjung Karang dan dibesarkan di Titiwangsa sebelum keluarganya berpindah ke Sepang ketika dia berumur 18 tahun, Rina pernah menjadi ketua Puteri Umno Sepang sebelum menyertai Bersatu.

Rina meneraju sayap Wanita partinya sejak April tahun lalu sebagai menggantikan Anina Saadudin, yang juga merupakan salah seorang pengasas Bersatu.

Pada pilihan raya umum (PRU) ke-14 yang lalu, Rina mengalahkan Johari Abdul Ghani yang merupakan menteri Umno ketika itu, dengan 4,139 majoriti undi.

Lihat Komen
ADS