Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Jho Low: Pembatalan permohonan DOJ sita Equanimity munasabah
Diterbitkan:  Jan 1, 2019 10:29 AM
Dikemaskini: 2:32 AM

Tindakan Mahkamah Amerika Syarikat membenarkan permohonan Jabatan Keadilan untuk membatalkan permohonan menyita kapal mewah Equanimity adalah sangat difahami dan munasabah, kata jurucakap yang mewakili ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low.

Equanimity didakwa dibeli Low menggunakan dana yang dilesapkan daripada 1MDB.

Menurut suatu kenyataan yang dihantar jurucakapnya, Low mendakwa kapal mewah itu dimiliki oleh Equanimity (Cayman) Ltd dan DOJ telah mendapat persetujun syarikat itu untuk membatalkan tuntutan menyita harta tersebut.

Setakat ini, Low mengelak hadir untuk dihadapkan ke mahkamah mengenai tuduhan berkaitan skandal 1MDB di Amerika Syarikat dan di Malaysia.

"DOJ, dengan persetujuan Equanimity (Cayman) Ltd, telah bersetuju untuk membatalkan tindakan (sita) ini.

"Walaupun ini bukan keputusan yang sempurna, ia munasabah dan mudah difahami, memandangkan kerajaan Mahathir tanpa segan-silu secara tidak sah merampas kapal mewah itu dari Indonesia, dengan terang-terangan melanggar undang-undang Indonesia dan tanpa mengambil kira perintah mahkamah AS yang dikeluarkan untuk memastikan semua pihak diberikan sepenuhnya hak mereka di bawah peruntukan undang-undang," baca kenyataan jurucakap Low.

Kerajaan sita kapal, jejas nilai

Kenyataan ini dipercayai dikeluarkan berdasarkan penarikan perintah penangguhan Mahkamah Daerah California pada 21 Disember 2018 bagi membolehkan kerajaan AS memfailkan notis pembatalan.

Low sentiasa mempertahankan dirinya sebagai tidak bersalah dan hari ini mendakwa perintah mahkamah itu tidak menyatakan dapatan negatif atau keputusan yang berlawanan terhadapnya.

Beliau juga mengulangi pendiriannya bahawa tindakan kerajaan Pakatan Harapan, di bawah Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, dalam merampas kapal itu telah menjejaskan nilai Equanimity "dengan ketara".

DOJ pada 20 Oktober 2018 menulis kepada Mahkamah Rayuan AS untuk memaklumkan pemilikan sah kerajaan Malaysia ke atas kapal layar mewah Equanimity.

Ini beberapa jam selepas 1MDB memperolehi kehakiman itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

"Menurut laporan akhbar yang dikeluarkan hari ini, mahkamah Malaysia hanya mengeluarkan penghakiman terhadap M / Y Equanimity, yang merupakan defendan rem dalam isu rayuan ini.

"Berdasarkan penghakiman ini, Equanimity kini menjadi milik kerajaan Malaysia.

"Oleh itu, kerajaan Malaysia mempunyai hak penjagaan fizikal Equanimity dan pemilikan sah di segi undang-undang ke atas Equanimity dengan pengoperasian undang-undang Malaysia," bunyi surat yang dilihat oleh Malaysiakini.

Bidaaan capai angka sembilan digit

DOJ sebelum ini memohon kepada Mahkamah AS untuk merampas Equanimity dengan alasan bahawa ia telah diperoleh oleh ahli perniagaan Low Taek Jho menggunakan dana dari 1MDB yang melalui pengubahan melalui sistem kewangan AS.

Kapal mewah itu dianggarkan bernilai AS$130 juta (RM543 juta) oleh Winterbothams, firma tinjauan bebas yang menyediakan khidmat rundingan industri perkapalan mewah.

Kerajaan Malaysia kemudian meletakkan kapal layar mewah itu untuk lelongan selepas Mahkamah Tinggi Admiralty di Kuala Lumpur mengarahkan penjualan kapal itu.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur juga memutuskan bahawa 1MDB Energy Holdings Ltd dan 1MDB Global Investment Ltd adalah pemilik sah Equanimity, selepas tiada siapa yang mencabar pemilikan kapal mewah itu.

Penawaran untuk Equanimity ditutup pada bulan November, dengan angka sembilan digit yang ditawarkan di kalangan pembida.

Walau bagaimanapun, peguam pihak kerajaan mendedahkan bahawa Mahkamah Tinggi Admiralty tidak menerima tawaran itu dan mengarahkan peguam yang dilantik oleh kerajaan untuk meneruskan perundingan swasta dengan pembida.

Tarikh tutup rundingan telah ditetapkan untuk 31 Mac 2019 ini.

Lihat Komen
ADS