Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Azmin patut bincang dulu dengan Anwar sebelum pertikai'
Diterbitkan:  Jan 1, 2019 12:58 PM
Dikemaskini: 5:00 AM

Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Syed Ibrahim Syed Noh berkata Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali tidak wajar mengkritik pelantikan kepimpinan parti seperti diumumkan presiden parti mereka, Anwar Ibrahim.

Sebaliknya, jelas Syed Ibrahim yang merupakan salah seorang ahli MPP lantikan, Mohamed Azmin seharusnya menggunakan kedudukannya untuk berbincang dengan Anwar.

“Siapa-siapa saja boleh keluar kenyataan, namun sebagai timbalan presiden beliau ada ruang untuk berbincang dengan presiden. Tetapi beliau keluar kenyataan dalam masa singkat selepas pengumuman lantikan.

“Jadi saya rasa itu tidak berapa wajar, sepatutnya beliau bincang dulu dan kemudian rujuk kepada MPP. Jika selepas itu ada persetujuan bersama, barulah boleh buat perubahan,” Katanya dipetika Sinar Harian.

29 Dec lalu, Mohamed Azmin secara terbuka menggesa Anwar menilai semula pelantikan jawatan utama kepimpinan parti.

Mohamed Azmin turut menyifatkan pelantikan itu tidak mencerminkan prinsip "perwakilan yang adil dan saksama" terhadap aspirasi anggota parti.

Susulan itu, Anwar menasihatkan Mohamed Azmin agar menggunakan saluran yang betul untuk membangkitkan isu dalaman parti.

Bekas presiden Dr Wan Azizah Wan Ismail pula berkata pelantikan itu adalah hak Anwar sebagai presiden, dan secara khusus merujuk kepada Rafizi Ramli yang dilantik semula sebagai naib presiden.

Mengulas lanjut, Syed Ibrahim berkata, semua orang perlu berlapang dada menerima pelantikan yang dimumkan Anwar.

“Setelah habis kongres dan pemilihan parti, tiba masa untuk kita bergerak ke hadapan. Lagipun lantikan dibuat setelah mengadakan perbincangan.

“Kalau fikir tak puas hati sampai bila pun takkan habis. Jadi, kita kena ada sikap untuk terima lantikan presiden itu dan kemudian bekerjasama untuk bangunkan parti dan tolong ahli-ahli,” katanya.

Lihat Komen
ADS