Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Syarikat urus parkir saman DBKL RM80j
Diterbitkan:  Jan 1, 2019 2:29 PM
Dikemaskini: 6:29 AM

Sebuah syarikat pengurusan parkir dan penguncian tayar (clamping) dilaporkan memfailkan saman berjuta ringgit terhadap Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kerana melanggar kontrak.

Vista Summerose Sdn Bhd menuntut RM80 juta sebagai pampasan kerana mendakwa perkara itu menjejaskan reputasi dan kepentingan syarikat mereka, lapor The Star.

Ia susulan penggantungan operasi penguncian tayar yang diumumkan Datuk Bandar Nor Hisham Ahmad Dahlan pada 1 Okt lalu meskipun perjanjian antara DBKL dan Vista Summerose menetapkan syarikat itu akan menguruskan parkir dan penguncian tayar sehingga September 2020.

Syarikat itu mendakwa mengalami kerugian berhubung kontrak penguncian tayar dan menjejaskan kakitangannya yang terpaksa diberhentikan kerana pembatalan kontrak itu.

The Star melaporkan bahawa saman berkenaan difailkan melalui Tetuan Haizan Choo & Co di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Pengarah urusan syarikat itu, Nik Haidi Nik Mohamad dipetik sebagai berkata bahawa DBKL menyerahkan notis penamatan kontrak tanpa berbincang atau notis awal.

Jelas Nik Haidi, pihaknya tiada pilihan selain membawa perkara itu ke mahkamah.

"Kami memberhentikan lebih 100 pekerja bulan lalu dan kami masih membayar pinjaman yang diambil bagi membeli peralatan dan teknologi yang diperlukan bagi menguruskan parkir di Kuala Lumpur," katanya dipetik sebagai berkata.

Nik Haidi juga berkata wujud dakwaan tidak berasas ke atas pihaknya yang menjejaskan reputasi mereka.

Nor Hisham dikatakan maklum dengan saman berkenaan meskipun tidak dengan terperinci.

Penggantungan operasi penguncian tayar berkuatkuasa November lalu dan penguatkuasa DBKL akan mengambil alih peranan syarikat itu menggunakan piawai paiwai prosedur operasi sendiri.

Nor Hisham sebelum ini mendakwa pengendali parkir itu "terlalu agresif dan tidak munsabah" merupakan alasan DBKL mengambil alih.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS