Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Bersatu Bandar Tun Razak pertahan ucapan mengenai kontrak
Diterbitkan:  Jan 1, 2019 11:20 PM
Dikemaskini: Jan 13, 2019 4:58 AM

NOTA EDITOR: Terdapat pertikaian berhubung jawatan ketua penerangan Bersatu Bandar Tun Razak yang dipetik dalam berita ini. Surat berhubung pertikaian itu boleh dibaca di sini.

Ketua Penerangan Bersatu Bandar Tun Razak, Ahmad Bastari Muslim meminta supaya ucapan ketua bahagiannya dalam perhimpunan agung tahunan parti itu baru-baru ini tidak disalah tafsir.

Ini selepas ketua bahagian itu, Mohd Shahni Ismail dalam ucapannya meminta kontrak dan jawatan kerajaan diberikan kepada pimpinan parti.

"Saya berharap akar tiada lagi salah tafsir yang berlaku di antara kita sesama ahli parti kerana tiada kebaikan yang dapat dipamerkan seandainya kita dibawa ke arah salah tafsiran dalam perbahasan usul yang dibawa ketua penerangan bersatu merangkap ketua bahagian Bersatu Bandar Tun Razak," katanya dalam kenyataan media.

Mengakui usul itu mendapat perhatian banyak pihak, Ahmad berkata ucapan Mohd Shahni dibuat demi kelangsungan parti.

"Kenyataan beliau adalah sehaluan dengan kelangsungan parti hari ini. 

"Kenyataan beliau juga bukanlah kenyataan berbentuk oportunis dan juga memikirkan survival politik milenium ini.

'Bukti demokrasi dipelihara'

"Walau ada berbau kecaman namun dalam kesenian politik baru ia adalah pandangan terbuka dan membuktikan demokrasi dipelihara dengan baik serta perubahan corak pemikiran sedang dilalui oleh pejuang Parti Pribumi Bersatu Malaysia," jelasnya.

Ahad lalu, ketua pemuda Bersatu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dalam ucapannya menyelar  ucapan Mohd Shahni selaku wakil Wilayah Persekutuan kerana meminta kontrak dan jawatan yang didakwa dijanjikan oleh seorang menteri.

Syed Saddiq memberi amaran kenyataan tersebut boleh mengundang perhatian Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Tidak lama selepas itu, naib presiden Bersatu, Abdul Rashid Abdul Rahman, berkata adalah 'bodoh' jika pemimpin parti itu tidak menggunakan sumber kerajaan termasuk menerima kontrak dan jawatan.

Bagaimanapun, pemimpin Pemuda Bersatu kemudian tampil mengecam Rashid dan mempertahankan pendirian Syed Saddiq.

 

Lihat Komen
ADS