Paling Popular
Terkini

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menjelaskan kenyataannya baru-baru ini mengenai Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).

Beliau berkata hari ini sensitiviti semua kaum dan bukan sahaja orang Melayu, perlu dipertimbangkan sebelum kerajaan dapat melaksanakan janji untuk mengiktirafnya.

Ini selepas wawancara dengan akhbar berbahasa Mandarin baru-baru ini, Sin Chew Daily, bertajuk "Tun Mahathir: Pengiktirafan UEC perlu mempertimbangkan perasaan orang Melayu", mencetuskan kegemparan di kalangan masyarakat Cina.

Sejak itu, Pejabat Perdana Menteri telah menerbitkan rakaman audio temu duga tersebut.

Tak kata tolak UEC

Hari ini, Mahathir berkata kadang-kadang laporan akhbar tidak seperti yang beliau katakan.

"Saya ini selalu ini bila diminta oleh akhbar untuk ada wawancara, saya tidak pernah tolak.

"Tapi kadang-kadang saya dapati laporan itu tak seperti apa yang saya katakan. Berkenaan dengan isu sijil UEC ini, saya tak kata saya tolak.

"Saya cuma kata, ada sensitiviti di kalangan orang Melayu dan apakah ini, dan kita ambil kita semua sensitiviti.

"Termasuk sensitiviti orang Cina, orang India, Orang Asli dan juga suku-suku kaum di Malaysia," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan di Yayasan Albukhary hari ini.

Perdana menteri menjelaskan apabila beliau bercakap mengenai sensitiviti orang Melayu ia tidak bermaksud mengabaikan sensitiviti kaum-kaum lain.

"Jika saya mengatakan orang Melayu sensitif terhadap sesuatu, ini tidak bermakna orang lain tidak sensitif mengenainya dan (ini juga tidak bermaksud) saya tidak peka terhadap perasaan orang lain.

"Saya berharap akhbar akan menulis laporan berdasarkan kebenaran, walaupun kami telah cuba memansuhkan akta berita palsu 2018, kami telah gagal kerana kami tidak mendapat sokongan senator daripada parti pembangkang," katanya.

Berdasarkan rakaman audio temu duga itu, Mahathir berkata kerajaan akan mengiktiraf UEC "setakat yang kita boleh" apabila diminta memberi jaminannya mengenai perkara tersebut.

Walau bagaimanapun, beliau menegaskan usaha merapatkan jurang ekonomi antara kaum adalah lebih penting.

Jurang perbezaan ekonomi

"Ya, saya fikir kami mengiktirafnya (UEC) setakat yang kami boleh.

"Lihat, terdapat perbezaan - antara jurang agihan kekayaan dalam negara yang terburuk yang perlu kami perbetulkan.

"Saya akui kebanyakan kesilapan orang Melayu tetapi hal ini (jurang ekonomi) kamu tidak memperbaikinya dan kamu hanya selalu membertulkan hal ini sahaja (UEC).

"Hal ini mudah untuk dibetulkan - bahasa atau UEC atau apa-apa (yang berkaitan). Itu mudah sahaja. Hanya satu tanda tangan dan selesai.

"Tetapi untuk membawa ketiga-tiga kaum di Malaysia, termasuk bumiputera Sabah dan Sarwak pada tahap pembangunan ekonomi yang setara, itu akan mengambil masa," katanya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS