Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Pembatalan saman DOJ tegaskan pemilikan M'sia terhadap Equanimity'
Diterbitkan:  Jan 4, 2019 4:54 PM
Dikemaskini: 8:54 AM

Permohonan pembatalan saman oleh Jabatan Kehakiman AS (DOJ) bagi merampas kapal mewah, Equanimity merupakan pengakuan terhadap pengisytiharan mahkamah Malaysia mengenai pemilikan kapal itu, kata peguam yang mewakili kerajaan Malaysia.

Mereka berkata pembatalan itu juga bermakna tiada tuntutan yang bersaing dengan kerajaan Malaysia dan pemilikan kapal itu oleh 1MDB.

"Dari segi undang-undang, Equanimity (Cayman) Ltd dan Jho Low tidak mempunyai hak untuk Equanimity.

"Sebarang penegasan pemilikan Equanimity oleh Jho Low yang sedang diburu itu tidak mempunyai nilai dan harus diabaikan," kata jurucakap perundangan Malaysia dalam satu kenyataan hari ini.

DOJ memfailkan saman di mahkamah AS untuk menyita Equanimity setelah mendakwa ia dibeli dengan hasil penyelewengan 1MDB yang telah disalurkan melalui sistem kewangan AS.

Syarikat Equanimity (Cayman) Ltd, yang didakwa DOJ sebagai syarikat yang dikawal oleh Low, menentang tuntutan tersebut.

Dalam pada itu, pihak berkuasa Malaysia mengambil hak penjagaan kapal itu, sementara kerajaan dan 1MDB memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berdasarkan tuduhan DOJ.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan pada 19 Oktober 2018 bahawa Equanimity dimiliki anak syarikat 1MDB, 1MDB Global Investment Ltd (kini dikenali sebagai Global Diversified Investment Company Ltd) dan 1MDB Energy Holdings.

Kerajaan kemudian berhasrat menjual kapal itu melalui lelongan dan rundingan persendirian jika bidaan bagi kapal itu dianggap tidak munasabah. 

Pada 21 Dis, 2018, DOJ dan Equanimity (Cayman) Ltd membuat permohonan kepada Mahkamah Daerah California Tengah untuk membatalkan saman yang dimulakan DOJ, tanpa prejudis. Hakim Dale Fisher membenarkan permohonan pada hari yang sama.

Kedua-dua pihak juga bersama-sama memohon di Mahkamah Rayuan Sivil Kesembilan AS untuk menolak rayuan yang berkaitan dengan kes itu hari ini.

Bagaimanapun, permohonan bertulis yang dilihat oleh Malaysiakini tidak menyatakan alasan untuk memohon pembatalan itu.

Low, atau nama sebenarnya Low Taek Jho sebelum ini mengatakan pembatalan permohonan itu adalah sangat "difahami" dan munasabah.

"Walaupun ini bukan keputusan yang sempurna, ia munasabah dan mudah difahami, memandangkan kerajaan Mahathir tanpa segan-silu secara tidak sah merampas kapal mewah itu dari Indonesia, dengan terang-terangan melanggar undang-undang Indonesia dan tanpa mengambil kira perintah mahkamah AS yang dikeluarkan untuk memastikan semua pihak diberikan sepenuhnya hak mereka di bawah peruntukan undang-undang," katanya melalui seorang jurucakap.

Sementara itu, pasukan undang-undang kerajaan Malaysia mengulangi bahawa jualan oleh Mahkamah Admiralty Malaysia terhadap Equanimity memberikan hak pembeli kepada kapal itu dan diiktiraf oleh bidang kuasa admiralty di seluruh dunia.

Kata mereka,  sekarang lebih jelas kerana DOJ, Low dan Equanimity (Cayman) Ltd tidak lagi mempunyai tuntutan yang bersaing bagi kapal itu.

Lihat Komen
ADS