10 menteri bukan Islam hantar memorandum pada PM
Sepuluh menteri kabinet bukan Islam telah menghantar satu memoradum kepada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam berhubung masalah perundangan yang timbul apabila seorang bukan Islam bertukar agama dengan memeluk Islam.
Sepuluh menteri kabinet bukan Islam telah menghantar satu memoradum kepada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam berhubung masalah perundangan yang timbul apabila seorang bukan Islam bertukar agama dengan memeluk Islam.
Perkara tersebut dilaporkan oleh akhbar berbahasa Cina Nanyang Siang Pau dan Sin Chew Daily keluaran hari ini.
Menurut laporan itu lagi, difahamkan bahawa memorandum ini turut mencadangkan beberapa langkah, termasuk bagaimana hendak menguruskan masalah-masalah perundangan yang timbul selepas bukan Islam memeluk Islam.
Difahamkan juga memorandum ini meminta supaya diperjelaskan kekeliruan dalam undang-udang masakini, terutama dalam soal mahkamah sivil tidak boleh mencampuri keputusan mahkamah Syariah dan seterusnya memberi kesan negatif terhadap hak dan kepentingan bukan Islam.
Memorandum itu juga menyentuh tentang keadaan apabila ada pasangan yang salah seorang daripadanya telah memeluk Islam tetapi tidak memaklumkan kepada pasangannya dan menimbul persoalan sama ada generasi keluarga itu seterusnya secara automatik telah bertukar agama kepada Islam
Difahamkan juga bahawa memorandum ini dirangka oleh MCA dan dibincang dan dipersetujui oleh sepuluh orang menteri kabinet bukan Islam untuk diserahkan kepada Perdana Menteri.
Difahamkan juga, MCA telahpun menghantar satu memorandum kepada kerajaan pada tahun lalu mengenai soal bukan Islam bertukar agama kepada Islam dan masalah yang timbul berikut daripada itu.
Memorandum MCA
Memorandum semalam adalah lanjut daripada memorandum yang dihantar oleh MCA parti komponen kedua terbesar selepas Umno dalam Barisan Nasional (BN) yang dihantar tahun lalu itu.
Kekeliruan mengenai perkara tersebut tercetus selepas kematian wira Everest M Moorthy yang meninggal dunia pada 20 Disember lalu apabila Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) mendakwa dia telahpun memeluk agama Islam, atas nama Muhammad Abdullah.
Berikutan itu berlaku perebutan mayatnya antara pihak Jawi dan keluarga Moorthy yang mendakwa dia penganut agama Hindu dan mahu mensemadikan mayatnya mengikut agama tersebut.
Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi Syariah telah memutuskan bahawa Moorthy seorang Islam dan berikutan itu jenazahnya telah dikebumikan secara Islam.
Berikutan itu, beberapa pihak telah mendesak kerajaan supaya meminda Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan bagi melindungi hak bukan Islam di negara ini.
Isteri Moorthy, S Kaliammal telah mengemukakan permohonan kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk mendapatkan pengisytiharan bahawa Moorthy adalah seorang penganut agama Hindu dan hendaklah disemadikan mengikut agama tersebut.
Bagaimanapun, mahkamah tersebut memutuskan pihak ia tidak mempunyai bidangkuasa untuk mendengar permohonan tersebut dan keputusan mahkamah Syariah berhubung perkara tersebut.
.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.