Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
WSJ: China pernah tawar tebus 1MDB sebagai ganjaran projek
Diterbitkan:  Jan 8, 2019 10:33 AM
Dikemaskini: 3:53 AM

Kerajaan China pada 2016 dilapor pernah menawarkan untuk menebus 1MDB yang menghadapi masalah kewangan sebagai balasan penganugerahan projek saliran paip bagi program 'One Belt, One Road'.

Laporan Wall Street Journal (WSJ) memetik minit mesyuarat yang tidak didedahkan sebelum ini, menyatakan bahawa China juga menawarkan untuk memasang peranti pengintip di rumah dan pejabat wartawan WSJ di Hong Kong yang ketika itu membuat liputan 1MDB, bagi mengenal pasti sumber maklumat mereka.

"Minit mesyuarat menunjukkan pegawai China memaklumkan bahawa kerajaan China akan menggunakan pengaruh bagi memastikan AS dan negara lain menggugurkan siasatan berhubung kes melibatkan perdana menteri ketika itu Najib Razak dan sekutunya, yang didakwa menyeleweng dana 1MDB.

"Sebagai balasan, Malaysia menawarkan kepentingan dalam projek saliran paip untuk program infrastruktur kerajaan China 'One Belt, One Road'.

"Dalam tempoh beberapa bulan, Najib, yang menafikan sebarang salah laku dalam kes 1MDB, menandatangani perjanjian projek saliran paip bernilai AS$34 bilion dengan syarikat China, yang akan didanai bank-bank China dan dibina oleh pekerja China," kata laporan yang ditulis Tom Wright dan Bradley Hope.

Memetik sumber, laporan itu turut menyatakan bahawa selain menganugerahkan projek kepada China, Najib juga mengadakan rundingan sulit bagi membenarkan tentera laut China berlabuh di dua pelabuhan Malaysia.

Wright dan Hope menyiasat kes 1MDB selama bebera tahun dan merupakan antara wartawan yang terawal membuat laporan berhubung dakwaan RM2.6 bilion dalam akaun Najib yang didakwa diselewen dari 1MDB.

Tom Wright dan Bradley Hope juga merupakan penulis Billion Dollar Whale, buku yang mengupas skandal 1MDB dan ahli perniagaan Low Taek Jho (Jho Low) yang kini masih dalam buruan pihak berkuasa.

'Najib maklum'

Minit mesyuarat yang dipetik WSJ juga dikatakan menyebut bahawa meskipun projek berkenaan "bersifat politik" kerana bertujuan menebus hutang 1MDB, menguatkan pentadbiran Najib dan mengukuhkan pengaruh China di malaysia, ia perlu digambarkan kepada umum sebagai berpandukan pasaran.

WSJ berkata kerajaan China setakat ini belum membalas permohonan mereka untuk mendapatkan ulasan berhubung perkara itu.

China sebelum ini menafikan wang bagi program 'One Belt, One Road' digunakan untuk membayar hutang 1MDB.

Tambah laporan WSJ itu lagi, minit mesyuarat berkenaan juga menunjukkan pegawai Malaysia mencadangkan beberapa projek diletakkan harga di atas harga pasaran, untuk mendapat dana lebihan bagi tujuan lain.

Penyiasat Malaysia kini percaya beberapa dana berkenaan digunakan untuk membantu aktiviti politik Najib dan membayar hutang 1MDB.

Menurut pihak yang rapat perkara itu, Najib dikatakan maklum dengan mesyuarat antara Malaysia dan China yang diadakan pada 2016 itu.

"Ditanya tentang perkara ini, bekas perdana menteri (Najib) mengeluarkan kenyataan berkata projek rel berkenaan akan membuka ribuan peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia dan di bawah pentadbirannya, ekonomi Malaysia akan mengalami perkembangan selama sembilan tahun," kata WSJ.

[Baca berita penuh]

ADS