Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

PRK CAMERON | Calon PH, M Manogaran berkata isu penularan gambar penyokong kerajaan mengagihkan wang beberapa hari lalu bukanlah masalah yang besar, kecuali ia diberikan sambil mengharapkan balasan undi.

Anggota DAP itu turut menafikan terdapat sebarang ugutan atau sogokan berlaku serentak dengan kejadian berkenaan.

"Isu yang kita hadapi sekarang bukanlah masalah yang besar. Pemberian wang oleh sukarelawan untuk makanan dan pengangkutan itu tidak salah dari segi undang-undang.

"Pemberian wang itu sebahagian daripada perbelanjaan untuk kempen dan akan dimasukkan dalam penyata akaun untuk kami serahkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kemudian," katanya.

Menurut Manogaran berdasarkan keputusan mahkamah, amalan yang salah ialah pemberian wang kepada orang ramai dengan mengharapkan balasan undi.

"Itu (baru) rasuah. Sangat jelas," katanya.

Justeru Manogaran berkata pembangkang tidak perlu membuang masa membuat laporan polis berhubung gambar tersebut.

Sebaliknya kata Manogaran pembangkang lebih baik menggunakan masa yang ada untuk bertemu pengundi dan berkempen secara sihat.

Tampung kos petrol

Katanya PH komited untuk melangsungkan pilihan raya yang bersih dan adil.

Manogaran berkata demikian kepada media sebelum memulakan lawatan dari rumah ke rumah di Felda Sungai Koyan 2, Jelai hari ini.

Terdahulu beberapa keping gambar memaparkan seorang wanita memakai baju PH didakwa mengedarkan wang kepada masyarakat setempat menjelang pengundian pada 26 Jan ini.

Ia segera menarik perhatian pembangkang dan menjadi bahan mereka menyerang PH.

Kata Manogaran selagi perbelanjaan untuk pilihan raya kawasan parlimen sesebuah parti masih dalam jumlah yang dibenarkan - iaitu RM200,000 untuk kawasan parlimen - ia tidak sepatutnya menjadi masalah.

Menjelaskan latar di sebalik gambar tersebut Manogaran berkata ada kira-kira 60 sukarelawan datang ke Cameron Highlands menaiki motosikal.

Katanya petugas PH kemudian memberikan duit minyak kepada sukarelawan terbabit sebagai penghargaan.

"PH tidak memastikan pun sama ada mereka itu pengundi atau tidak," katanya.

Semalam, Penolong Ketua Pusat Operasi PH Jelai, Arvind Bharet berkata pihaknya hanya memberikan bayaran balik kos petrol kepada sukarelawan yang menggunakan kenderaan sendiri pada hari penamaan calon pada 12 Januari.

Lihat Komen
ADS