Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini mengarahkan bekas Ketua Menteri Sabah Musa Aman agar menyerahkan semula pasportnya.

Ia selepas mahkamah membenarkan permohonan pihak pendakwa agar keputusan membenarkan Musa memegang pasportnya - atas tujuan mendapatkan rawatan di luar negara - disemak semula.

Dalam membatalkan keputusan hakim Mahkamah Sesyen itu, Hakim Mohamed Zaini Mazlan berkata tiada cadangan yang dibuat Musa bahawa beliau hanya boleh dirawat di Singapura atau United Kingdom.

"Beliau bertanggungjawab menunjukkan beliau memerlukan rawatan khas yang tiada dalam negara.

"Tertuduh hanya mendapatkan rawatan oleh doktor yang dipilihnya. Anggapannya adalah beliau boleh dirawat dalam negara ini dan penyakit yang dihidapinya daripada koronari boleh dirawat oleh doktor dalam negara. Korespondens (dengan doktor pakar luar negara) juga menunjukkan perkara sama," katanya.

Mohamed Zaini juga mengambil maklum bantahan pihak pendakwaan terhadap pemulangan pasport Musa atas sebab beliau berpotensi melarikan diri.

"Tiada sebab meyakinkan untuk membenarkannya ke luar negara. Tiada dalam kes ini.

"Hakim Mahkamah Sesyen gagal menimbangkan fakta ini. Maka mahkamah mengenepikan arahan oleh Mahkamah Sesyen," katanya.

Pada 5 November 2018, Musa meminta dibicarakan atas 35 pertuduhan rasuah melibatkan US$63.3 juta (RM263 juta) berkaitan kontrak konsesi pembalakan di Sabah.

Mahkamah mengenakan ikat jamin RM2 juta beserta dua penjamin terhadapnya.

Musa diwakili peguam Amer Hamzah Arshad, Ridha Abdah Subri dan Joshua Tay.

Amer Hamzah membayangkan anak guamnya akan mengeluarkan kenyataan hari ini dan memaklumkan beliau akan mendapatkan arahan daripadanya sama ada untuk merayu keputusan itu.

"Kita ada 14 hari untuk memfailkan rayuan jika Musa mengarahkan sedemikian," katanya.

Pihak pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Salim Shoib. Semalam, beliau memfailkan semakan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen atas asas 35 tuduhan yang dihadapi Musa adalah kesalahan serius dan beliau boleh mendapatkan rawatan dalam negara.

Amer Hamzah bagaimanapun memberitahu mahkamah semalam bahawa Musa telah menjalani lima prosedur rawatan jantung sejak 1994 dan ia menunjukkan beliau memerlukan rawatan.

Beliau juga berkata menjalani ujian perubatan hanya untuk mendapatkan rawatan di sini akan membebankan anak guamnya, memandangkan beliau telah menjalani proses sama di luar negara.

Lihat Komen
ADS