Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MB Johor perlu jelaskan pertikaian dengan S'pura - NGO
Diterbitkan:  Jan 16, 2019 1:07 PM
Dikemaskini: 5:07 AM

Sebuah NGO yang bermatlamat menjadi platform golongan belia, Dewan Muda Johor (DMJ) menggesa Menteri Besar Osman Sapian memberi penjelasan mengenai isu-isu pertikaian sempadan perairan dan ruang udara dengan negara jiran Singapura.

Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan, Undang-Undang, Intergriti dan Antarabangsa DMJ, Onn Mahathir Md Nasir berkata ini kerana pertikaian baru boleh mencetuskan ketegangan antara Putrajaya dan pentadbiran negeri Johor.

"Pertama, jika Menteri Besar Johor berasakan beliau difitnah dan dianaiya oleh Kerajaan Singapura, beliau perlu mengemukakan segera bukti laporan Latitud dan Longitud yang menunjukkan beliau tidak melepasi sempadan perairan Singapura.

"Kedua, jika benar dakwaan bahawa Wisma Putra tidak memberi restu terhadap ‘lawatan’ Menteri Besar Johor, ia perlu segera dijelaskan secara diplomatik agar hubungan kedua-dua buah negara tidak terjejas. 

"Ketiga, jika benar Menteri Besar Johor berjiwa besar dan mengakui kesilapan, adalah lebih elok beliau mengemukakan permohonan maaf demi keharmonian rakyat dan kestabilan khususnya negeri Johor," katanya," katanya.

Buli MB jadi kambing hitam

Onn berkata gesaannya dibuat berikutan kenyataan awal Pengerusi PKR Johor Hassan Abdul Karim yang meluahkan kekecewaannya terhadap kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri yang dilihat membiarkan saja Singapura 'membelasah' menteri besar, berhubung dakwaan menceroboh perairan negara itu.

"Singapura membuli menteri besar Johor dan menjadikannya sebagai kambing hitam dan punching bag, manakala pemimpin di Putrajaya ambil sikap tidak peduli.

"Pemimpin kerajaan negeri Johor juga ambil sikap membisu dan kelu seribu bahasa membiarkan Osman mempertahankan diri seorang diri dalam menghadapi tuduhan liar dari Singapura, sedangkan Osman menjalankan tugas demi mempertahankan kedaulatan wilayah dan maruah negara dan negeri," katanya.

Mengulas lanjut, Onn berkata jika terdapat kebenaran dalam dakwaan Hassan maka ia akan menjadi "tamparan" terhadap pentadbiran Osman.

"Jika benar apa yang sedang diperkatakan, ia merupakan satu tamparan terhadap kepimpinan Menteri Besar Johor.

"DMJ mengambil pendirian bahawa isu ini perlu segera diberikan penjelasan.

"Tiada faedah menjadi hero dengan memanjangkan polemik yang tidak memberi faedah, sebaliknya menumpukan usaha memajukan negeri, menjaga kebajikan rakyat, memberi fokus menunaikan manifesto dan menjaga kehormatan negeri adalah salah satu cara untuk dikenang sebagai hero rakyat," jelasnya lagi.

Terdahulu, kerajaan Singapura mendakwa Osman menceroboh kawasan perairannya di Tuas pada 9 Januari lalu ketika lawatan ke kapal milik kerajaan Malaysia MV Pedoman.

Kawasan sekitar di situ kini menjadi pertikaian antara kedua-dua negara.

Tidak seperti kawasan lain di Selat Johor, sempadan antara Malaysia dan Singapura di sana belum digariskan dengan jelas, dengan kedua-dua pihak membuat tuntutan wilayah bertindih.


BACA: S'pura setuju gantung ILS, M'sia gantung kawasan larangan Pasir Gudang


Osman menafikan dakwaan menceroboh kawasan Singapura, dan berkata lawatannya bukan untuk mencetuskan provokasi tetapi hanya untuk melihat pasukan keselamatan Malaysia menjalankan tugas.

Lihat Komen
ADS