Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Muhyiddin nafi pertukaran KP imigresen ada kaitan kontrak RM3.5b
Diterbitkan:  Jan 18, 2019 10:53 AM
Dikemaskini: 7:30 AM

Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin menafikan sebarang kaitan pertukaran ketua pengarah Jabatan Imigresen baru-baru ini dengan pembatalan kontrak Sistem Kawalan Imigresen Nasional (SKIN) bernilai RM3.5 bilion.

"Pertukaran ketua pengarah Imigresen baru-baru ini dikatakan ada kaitan dengan perkara ini. Saya menyangkal sekeras-kerasnya dakwaan ini," katanya dalam kenyataan media hari ini yang merujuk laporan Malaysiakini.

Dalam laporan itu, Malaysiakini memetik sumber yang memaklumkan bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menyiasat sekiranya terdapat unsur rasuah dan penyalahgunaan kuasa dalam Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhubung projek Jabatan Imigresen Malaysia itu.

Sumber berkata, SPRM baru-baru ini menerima maklumat bahawa KDN memutuskan untuk menyerahkan kepada syarikat lain pelaksanaan projek itu dan syarikat berkenaan dikatakan mempunyai kaitan dengan pegawai kanan dalam kementerian.

Dalam kenyataan medianya, Muhyiddin berkata, beliau telah diberikan taklimat oleh pegawai-pegawai kementerian mengenai projek-projek KDN yang telah diluluskan oleh kerajaan terdahulu termasuk projek SKIN.

Projek SKIN ketika itu diluluskan secara rundingan terus kepada syarikat Prestariang SKIN Sdn Bhd (PSSB).

Jelas Muhyiddin, beliau mengarahkan sebuah jawatankuasa khas mengkaji semula projek SKIN secara terperinci selaras dengan dasar kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk mengkaji semula projek-projek bernilai tinggi yang diluluskan oleh kerajaan terdahulu.

"Setelah kajian dibuat, jawatankuasa ini mendapati terdapat beberapa kelemahan dalam terma perjanjian konsesi dan pelaksanaan projek.

"Antaranya ialah terma-terma kontrak yang lebih menguntungkan syarikat berbanding kerajaan, kos pelaksanaan projek terlalu tinggi dan bakal menjadi beban kewangan kepada kerajaan untuk jangka masa panjang dan skop pelaksanaan projek yang terhad serta tidak memenuhi keperluan sebenar Jabatan Imigresen Malaysia," katanya.

Tiada syarikat baru dapat kontrak

Berdasarkan faktor-faktor berkenaan, kata Muhyiddin, pihak jawatankuasa mengesyorkan supaya perjanjian konsesi dengan PSSB ditamatkan dan sebuah sistem baru, iaitu Sistem Imigresen Malaysia Bersepadu dibangunkan.

"Sistem ini akan memenuhi keperluan sebenar Jabatan Imigresen Malaysia di samping memberikan penjimatan yang dianggarkan hampir RM1 bilion kepada kerajaan menerusi perolehan secara tender terbuka yang lebih kompetitif, telus dan adil.

"Berdasarkan syor jawatankuasa ini, saya telah membentangkan memorandum mengenai cadangan penamatan perjanjian konsesi dengan PSSB dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 10 Oktober 2018 dan Jemaah Menteri telah bersetuju dengan cadangan ini," katanya.

Bagaimanapun, tambah Muhyiddin, dalam mesyuarat pada 19 Oktober 2018, Jemaah Menteri memutuskan penamatan perjanjian konsesi tersebut ditangguhkan sementara penelitian terhadap keputusan tersebut dimuktamadkan oleh sebuah jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara.

"Mesyuarat Jemaah Menteri yang berikutnya telah mengambil maklum hasil penelitian jawatankuasa ini dan saya sekali lagi diminta untuk membentangkan memorandum mengenainya.

"Akhirnya, Mesyuarat Jemaah Menteri pada 30 November 2018 telah bersetuju dengan cadangan penamatan perjanjian konsesi dengan PSSB dan satu sistem baharu iaitu Sistem Imigresen Malaysia Bersepadu dilaksanakan menerusi tender terbuka," katanya.

Tak tolak cubaan sabotaj

Muhyiddin turut menafikan pelaksanaan sistem baru menggantikan SKIN diberikan kepada syarikat yang mempunyai kaitan dengan pegawai kanan KDN dan menjelaskan bahawa belum ada syarikat yang dianugerahkan kontrak untuk melaksanakannya.

"Tidak benar sama sekali. KDN pada masa ini masih membangunkan skop dan spesifikasi sistem tersebut dan selaras dengan keputusan Jemaah Menteri perolehan bagi pelaksanaan projek ini akan dibuat secara tender terbuka.

"Dokumen akhir tender dijangka siap pada bulan April tahun ini.

"Sehingga kini, tidak ada mana-mana syarikat yang telah dianugerahkan kontrak," katanya.

Muhyiddin turut tidak menolak kemungkinan wujud pihak berkepentingan yang tidak berpuas hati dengan kementeriannya yang membatalkan SKIN.

"Syor oleh kementerian saya telah dibuat dengan amat teliti dan dibawa untuk pertimbangan kabinet sebanyak 4 kali.

"Ia tidak dibuat secara sewenang-wenang. Hasilnya, KDN telah menyelamatkan wang kerajaan yang dianggarkan berjumlah hampir RM1 bilion.

"Saya tidak akan sekali-kali berkompromi dengan amalan rasuah dan salah guna kuasa. KDN akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada SPRM dalam siasatan mengenai sebarang dakwaan salah laku yang melibatkan kementerian ini.

"Saya juga tidak akan tunduk kepada sebarang cubaan mensabotaj kerajaan yang dibuat oleh mana-mana pihak dengan melemparkan tuduhan melulu dan tidak berasas," katanya.

Lihat Komen
ADS