Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ibrahim Ali tak boleh tidur malam teringat arwah Adib

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Dr Ibrahim Ali meluahkan kebimbangannya berhubung perkembangan siasatan kematian anggota bomba Allhayarham Muhammad Adib Mohd Kassim.

Jelas Ibrahim, perkara itu sehingga menyebabkan beliau susah untuk melelapkan mata.

Muhammad Adib merupakan anggota bomba yang terkorban dalam insiden rusuhan kuil Sri Maha Mariamman di Seafield, Subang Jaya, Muhammad Adib Mohd Kassim tahun lalu.

“Selagi kes ini tak selesai mengikut undang-undang, selagi itu Perkasa tak akan berdiam diri dan kita sendiri terganggu fikiran (kerana kes itu).

“Saya memang terganggu. Ada kala saya tak boleh tidur bila teringat kepada arwah Adib, terbayang keluarganya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena pengumuman Ahli Dewan Tertinggi (ADT) Perkasa yang melibatkan rombakan besar terhadap beberapa jawatan penting pertubuhan itu di sebuah hotel di Kuala Lumpur

Beliau mengulas tentang inkues bagi menentukan sebab kematian Muhammad Adib yang akan didengar Mahkamah Koroner Shah Alam 11 Feb depan.

“Kerajaan telah buat pengumuman inkues bersabit kematian Adib, iaitu nak cari punca kematian, bukan nak cari siapa pembunuh.

“Berapa lama inkues ni nak diadakan? Sesudah inkues ini diadakan, apa seterusnya tindakan?” soalnya.

Dis tahun lalu, Muhammad Adib terkorban susulan kecederaan yang dialaminya selepas didakwa dipukul perusuh dalam kejadian rusuhan 27 Nov di Kuil Sri Maha Mariamman.

Ibrahim turut menyatakan kebimbangan berhubung desakan terhadap kerajaan untuk menghapuskan hukuman mati.

“Beberapa hari lalu, (bekas ketua polis negara) Abdul Rahim Noor buat kenyataan terbuka supaya hukuman mati dikekalkan, saya pun pernah buat kenyataan.

Dapatkan pandangan orang ramai

“Kalau kerajaan nak buat keputusan (tentang pemansuhan hukuman mati), paling kurang kena ada referendum di kalangan rakyat,” katanya lagi.

Pada 15 Jan, Abdul Rahim menyifatkan keputusan kerajaan untuk memansuhkan hukuman mati sebagai terburu-buru.

Abdul Rahim berkata kerajaan perlu menjalankan kajian terperinci dan mendapatkan pandangan orang ramai (referendum) mengenai pemansuhan hukuman mati sebelum membuat keputusan.

Untuk rekod, kes kematian Muhammad Adib telah diklasifikasikan semula daripada Seksyen 307 Kanun Keseksaan (cubaan membunuh) kepada Seksyen 302 Kanun Keseksaan (bunuh) yang membawa kepada hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Mengulas lanjut, Ibrahim memberi peringatan tegas terhadap kerajaan PH bahawa pakatan itu akan dijatuhkan oleh orang Melayu sekiranya kes Muhammad Adib tidak diselesaikan dengan telus dan mengikut pandangan rakyat.

“Saya nak beritahu secara terus terang, kalau kes Adib ini tak diselesaikan mengikut pandangan rakyat, [...] (jika) hasil inkues tidak dibuat dengan telus, saya cukup yakin kes ini saja boleh membawa kepada kejatuhan PH, terutama di kalangan orang Melayu.

“Saya percaya orang-orang Melayu akan bersatu,” katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS