Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MB Johor 'ada hak' tak maklumkan S'pura
Diterbitkan:  Jan 20, 2019 12:59 PM
Dikemaskini: 4:59 AM

Menteri Besar Johor Osman Sapian berkata beliau ada hak untuk ke perairan di antara Malaysia dan Singapura tanpa memaklumkannya kepada republik terbabit terlebih dulu.

Kata Osman beliau bukannya memasuki wilayah Singapura sebaliknya berada di perairan berkecuali.

Menurutnya lagi kunjungan berkenaan adalah untuk ke tempat kapal milik Jabatan Laut Malaysia, MV Pedoman, yang berada di kawasan terbabit sejak lebih sebulan lalu.

"Jika itu menjadi suatu kesalahan mengapa Singapura tidak mengambil tindakan (ke atas kapal tersebut)?

“Saya tidak masuk dan pergi ke kapal di mana kapal itu berlabuh. Jalan yang saya ambil tidak masuk dalam perairan Singapura seperti Tun M katakan (semalam) dan itu adalah benar,” katanya seperti dipetik Harian Metro hari ini.

Osman berkata demikian pada pada sidang media selepas menghadiri program pertukaran memorandum persefahaman (MoU) di antara Johor Corporation (JCorp) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di Kota Tinggi, Johor.

Singapura sebelum ini mendakwa menteri besar terbabit menceroboh kawasan perairan mereka pada 9 Jan lalu dan mengemukakan nota bantahan diplomatik kepada Wisma Putra pada dua hari kemudian.

Bagaimanapun semalam Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mempertahankan Osman dan mendakwa Adun Kempas itu bukannya memasuki perairan negara jiran, sebaliknya berada di kawasan berkecuali.

“[...] reaksi terhadap beliau (Osman) ke sana agak keterlaluan, seolah-olah beliau pergi berperang.

"[...] beliau cuma ke kapal, ke perairan neutral (berkecuali),” katanya menjawab soalan seorang hadirin selepas menyampaikan syarahan di Oxford Union di London, awal pagi semalam. 

Menurut Osman beliau juga berkunjung ke kawasan berkenaan atas sifatnya sebagai pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Dalam Negeri Johor.

Katanya sebagai ketua kerajaan negeri beliau berhak pergi ke mana-mana kawasan Johor tanpa memaklumkannya terlebih awal kepada Putrajaya.

“Katakanlah (misalnya) saya nak melawat daerah di Johor ini, adakah saya perlu memaklumkannya kepada Kementerian Dalam Negeri?

"Jadi, pendapat saya, ada percanggahan dalam kenyataan dibuat Kementerian Luar,” katanya.

Lihat Komen
ADS