Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MB Johor di perairan neutral - Dr M
Diterbitkan:  Jan 19, 2019 4:10 PM
Dikemaskini: 12:43 PM

Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Menteri Besar Johor Datuk Osman Sapian berada di perairan neutral dan tidak menceroboh wilayah Singapura semasa lawatan ke atas kapal Malaysia pada 9 Jan lalu.

Mengakui lawatan Osman ke atas kapal pengawasan Malaysia di pelabuhan Johor itu tanpa kebenaran kerajaan persekutuan, Perdana Menteri berkata beliau terkejut dengan reaksi berhubung perkara berkenaan.

“Maksud saya reaksi terhadap beliau (Osman) ke sana agak keterlaluan seolah-olah beliau pergi berperang. Maksud saya beliau cuma ke kapal, ke perairan neutral,” katanya menjawab soalan seorang hadirin selepas menyampaikan syarahan di Oxford Union yang disiarkan secara langsung oleh Astro Awani dari London, awal hari ini.

Hadirin itu bagaimanapun menegaskan Osman telah menceroboh perairan wilayah Singapura namun Dr Mahathir menegaskan kawasan tersebut adalah perairan antarabangsa.

“Ia bukan perairan Singapura, ia perairan antarabangsa dan menteri besar boleh pergi ke perairan antarabangsa tanpa memerlukan Singapura menghantar kapal perang untuk menghalau beliau,” katanya .

Semalam, Kementerian Luar berkata ia cuba menghalang Osman daripada melawat pelabuhan Johor Bahru, lawatan yang didakwa Singapura menyebabkan Osman menceroboh perairannya.

Osman menafikan beliau menceroboh perairan republik itu dan lawatannya ke atas kapal MV Pedoman pada 9 Jan lalu adalah untuk melihat sendiri pasukan keselamatan Malaysia melakukan tugasnya.

Singapura mendakwa Osman menceroboh perairan wilayahnya dan membuat bantahan menerusi nota diplomatik kepada Wisma Putra bertarikh 11 Jan selain mahu menangguhkan mesyuarat ke-14 Jawatankuasa Bersama Menteri bagi Iskandar Malaysia yang dijadualkan pada 14 Jan.

-- Bernama

Lihat Komen
ADS