WAWANCARA | "Apakah Dr Mahathir (Mohamad) suka ahli partinya 'melalak' tanpa mengikut saluran parti," soal Anggota Majis Tertinggi Umno Tajuddin Abdul Rahman.
Beliau mengulas kritikan perdana menteri itu terhadap ahli dan pemimpin Umno yang dikatakan "pekak" dan "bisu" dalam isu 1MDB.
Tajuddin berkata, beliau antara yang lantang "menghentam" ahli lembaga pengarah 1MDB selain turut menegur bekas Perdana Menteri Najib Razak dalam isu berkenaan.
"Mahathir menghasut orang-orang dia kononnya orang Umno ini tidak berani bersuara, "makan dedak". Tapi gunalah logik akal tak kan semua (ahli Umno) tidak berani bersuara.
"Kita (ahli Umno) bercakap guna saluran betul, dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno. Saya antara yang lantang bersuara.
"Kita bersuara, tetapi kita tak bagi tahu dia (Mahathir), kita bercakap bukan "melalak", tak kan kita nak bagi tahu orang luar.
"Dia (Mahathir) sendiri pun bila parti dia ada masalah, adakah dia suka orang-orang dia melalak di luar (parti), tengok Anwar Ibrahim dan Azmin Ali, bila Azmin bersuara terbuka Anwar kata gunalah saluran parti," katanya dalam satu wawancara bersama Malaysiakini.
Bukan Umno urus 1MDB
Skandal 1MDB dikatakan menjadi salah satu punca BN tumbang dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 lalu.
Ia juga turut menyaksikan bekas perdana menteri dan bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy berdepan pendakwaan kerana meminda laporan akhir audit 1MDB.
Terbaru Najib ketika berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands menegaskan skandal 1MDB tidak patut hanya diletakkan kesalahan di atas bahu beliau seorang sahaja.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas Menteri Kewangan Lim Guan Eng yang bertanya jika Najib akan meminta maaf selepas bank Goldman Sachs menyatakan rasa kesal terhadap peranan bekas pegawainya Tim Leissner dalam perkara itu.
"Kami telah meletakkan sistem termasuk Goldman Sachs dan semua juru audit, mereka sepatutnya memberitahu kami jika ada sebarang perkara yang tidak dijangka berlaku. Kami juga ada lembaga pengarah, pengurusan dan lain-lain lagi.
"Jadi ia kegagalan seluruh sistem. Ia (kesilapan) tidak boleh hanya diletakkan kepada hanya seorang saja, ia kegagalan seluruh sistem," kata Najib.
Sementara itu Tajuddin berkata, 1MDB tiada kaitan dengan Umno, namun ia telah dikaitkan pembangkang ketika itu kerana Najib yang juga Perdana Menteri adalah Presiden Umno.
"Bukan Umno yang mengurus tadbir 1MDB, bukan presiden Umno yang buat (uruskan). Sebaliknya ia diurus tadbir oleh lembaga pengarah, pihak pengurusan atasan 1MDB itu sendiri.
"Cuma ia dikaitkan dengan Umno seolah-olah Umno yang menguruskannya," kata Tajuddin lagi.
Dalam pada itu Tajuddin turut menyindir Mahathir yang sebelum ini menyifatkan pemimpin Umno "makan dedak" kerana tidak bersuara dalam isu 1MDB.
Namun akhirnya menerima penyertaan bekas pemimpin Umno yang didakwanya memakan "dedak" bersama parti itu.
