Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Annuar Musa: Jauh di sudut hati, Dr M harap calon BN menang PRK
Diterbitkan:  Jan 22, 2019 5:01 PM
Dikemaskini: 9:01 AM

Setiausaha Agung Umno Annuar Musa mendakwa "jauh di sudut hati" Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Dr Mahathir Mohamad mahu calon BN menang dalam pilihan raya kecil (PRK) Cameron Highlands 26 Jan ini.

Jelas Anggota Parlimen Ketereh itu, dalam perjumpaan pemimpin Umno dan Mahathir sebelum ini, perdana menteri itu mencadangkan pembubaran Umno kerana "tidak tahan dengan desakan DAP".

“Bila Mahathir panggil pemimpin Umno untuk membubarkan Umno dan memperkuatkan parti dia, alasan Mahathir beri adalah dia tersepit dan tidak tertahan dengan apa yang DAP sedang lakukan kepada dia.

“Jadi saya berani nyatakan dalam hati kecil Mahathir pun dia nak calon BN menang dalam PRK Cameron Highlands ini,” katanya ketika berucap dalam ceramah umum bersama pemimpin PAS di Kampung Beletik, Jelai Ahad lalu, seperti dipetik MediaUmno semalam.

Pada 13 Dis lalu dua keping gambar menunjukkan Mahathir bertemu enam individu menjadi tular dan menimbulkan keresahan di kalangan penyokong parti politik.

Penasihat media perdana menteri A Kadir Jasin kemudian mengesahkan gambar itu tulen dan dirakam pada 22 Okt lalu.

Antara yang hadir pertemuan itu ialah Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan, bekas menteri wilayah Tengku Adnan Tengku Mansor, bekas menteri kpdnkk Hamzah Zainuddin, bekas menteri undang-undang Shahidan Kassim dan bekas menteri pembangunan luar bandar Noh Omar.

Mahathir bagaimanapun sebelum ini menjelaskan pemimpin Umno berkenaan datang bertemu beliau kerana ingin menyatakan hasrat meninggalkan parti dan meminta nasihatnya.

Sementara itu, Annuar dalam ucapannya di Jelai memberi gambaran bahawa beberapa keputusan yang dibuat Mahathir adalah kerana akur kepada jumlah kerusi yang dimenangi oleh parti itu komponen PH.

“Kalau boleh Mahathir pun tidak mahu menteri kewangan dipegang oleh Lim Guan Eng tapi bercakap bab parti, okay, kamu nak jadi perdana menteri okay.

"(Pemimpin) PKR nak jadi timbalan perdana menteri, okay. Tapi dia (DAP) nak duduk di mana-mana. Maka dia pilih jawatan yang paling berkuasa daripada perdana menteri iaitu menteri kewangan.

“Mahathir 23 tahun jadi perdana menteri tidak pernah meluluskan peruntukan kepada sekolah-sekolah persendirian Cina yang tidak mengikut dasar pelajaran kebangsaan kerana setiap wang negara yang hendak dibelanjakan mesti lulus dalam Parlimen baru boleh dibelanjakan.

“Perbelanjaan untuk sekolah Cina persendirian yang tidak mengikut dasar pelajaran kebangsaan sebenarnya tidak sah untuk dibelanjakan daripada tabung wang kerajaan tetapi kuasa menteri kewangan boleh mengatasinya,” kata Annuar.

BN meletakkan bekas pegawai polis Ramli Mohd Noor sebagai calon, sementara PH mempertatuhkan Manogaran dari DAP untuk merampas kerusi berkenaan.

Lihat Komen
ADS