Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

PAS Kelantan boleh dilihat gagal menguruskan 'emas' yang ada secara semula jadi di negeri itu, sebaliknya ghairah mahu mengejar 'gula-gula', kata Pengerusi PH Kelantan, Husam Musa.

Menurut beliau, kenyataan Timbalan Menteri Kelantan Besar Mohd Amar Nik Abdullah yang menyatakan negeri itu mungkin menghentikan aktiviti pembalakan jika memperolehi royalti petroleum membuktikan kerajaan PAS itu mengamalkan pembalakan mania atau rakus.

Tegas anggota Dewan Negara itu, kerajaan Kelantan sepatutnya sedar bahawa hutan adalah khazanah semula jadi yang patut diurus dengan baik demi kelestarian alam sekitar dan kehidupan masyarakat secara keseluruhan.

"Kenyataan Mohd Amar itu membuktikan bahawa kerajaan Kelantan memang mengamalkan pembalakan berleluasa, bukan sahaja untuk hasil negeri tetapi menguntung sesetengah pihak berkepentingan.

"Kelantan seolah-olah mempunyai emas tetapi tetap mahukan gula-gula. Ini kerana emas - iaitu khazanah hutan - gagal diuruskan dengan baik," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Pada 23 Jan lalu, Mohd Amar berkata kerajaan Kelantan mungkin menghentikan aktiviti pembalakan di negeri itu sekiranya kerajaan persekutuan mengagihkan royalti petroleum kepada mereka.

Katanya, hasil pembalakan hanya memberi pulangan sekitar RM100 juta hingga RM120 juta setahun berbanding royalti minyak yang dianggar sebanyak RM500 juta hingga RM700 juta.

Khabar angin kontrak baru

Menurut Husam kerajaan Kelantan ketika ini tidak mempunyai pengetahuan untuk menjana pendapatan melalui hutan tanpa mendatangkan kesan sampingan.

"Mereka tak tahu bahawa hutan dan alam sekitar lebih berharga nilainya daripada royalti, tetapi dengan syarat ia mestilah diurus dengan cara yang betul," katanya.

Sementara itu Husam yang juga bekas naib presiden PAS menggesa kerajaan negeri mengemukakan senarai syarikat yang diberikan lesen pembalakan dan hasil yang diperolehi Kelantan supaya diketahui rakyat.

Gambar fail

Ini kerana, katanya, amalan memberi kontrak pembalakan tanpa melalui proses tender terbuka dikhuatiri mempunyai unsur penyelewengan.

"Kerajaan negeri sepatutnya mengemukakan senarai kelulusan balak sejak lima tahun kebelakangan ini serta hasil yang dikutip dan dijangka dikutip. Rakyat perlu tahu.

"Sekarang wujud desas-desus beberapa kontrak pembalakan baru diluluskan.

"Kita dengar desas-desus melibatkan kawasan di Ulu Sat di Machang dan Gunung Rabong di Gua Musang.

"Sepatutnya Kelantan juga perlu mengamalkan tender terbuka supaya mendapat hasil yang lebih baik berbanding amalan sekarang yang hanya menguntungkan tauke-tauke balak, orang tengah dan mungkin juga orang politik tertentu," jelasnya.

Sepatutnya ambil tanggungjawab

Malah bekas exco kanan Kelantan itu berkata, kerajaan persekutuan melalui jabatan-jabatan berkaitan perlu melaksanakan penguatkuasaan undang-undang penuh terhadap setiap aktiviti pembalakan di negeri itu.

"Kita minta agar siasatan dibuat terhadap setiap pemberian tender selain penguatkuasaan jabatan persekutuan seperti Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Pengairan dan Saliran serta Jabatan Mineral dan Geosains.

"Ini kerana Kelantan sebuah negeri yang menjalankan pembalakan penuh (tidak terpilih) selain gagal memenuhi kepentingan masyarakat di kawasan terlibat," katanya.

Terdahulu isu pembalakan kembali menjadi perhatian umum selepas kerajaan persekutuan atas arahan kabinet memfailkan saman sivil terhadap kerajaan Kelantan kerana menceroboh tanah Orang Asli Temiar di Gua Musang.

Peguan Negara, Tommy Thomas, berkata walaupun tanah dan perhutanan dalam bidang kuasa kerajaan negeri, negara perlu melindungi kebajikan Orang Asli.

Susulan itu Mahkamah Tinggi Malaya, Kota Bharu menetapkan 14 April depan untuk perbicaraan permohonan injunksi kes saman kerajaan persekutuan terhadap kerajaan negeri bagi menghalang lima syarikat kontraktor pembalakan.

Sementara itu Husam berkata, susulan saman tersebut kepimpinan PAS dijangkiti sindrom penafian sedangkan sepatutnya mereka mengambil sikap bertanggungjawab.

"Kita lihat mereka berada dalam sindrom penafian.

"Pimpinan PAS tak turun pada untuk melihat sendiri kesan pembalakan, atau bertemu masyarakat Orang Asli yang menghadapi masalah kesan pembalakan," tegasnya.

Lihat Komen
ADS