Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
ECRL: Menteri 'bingung' kenyataan bercanggah Lim, Azmin
Diterbitkan:  Jan 28, 2019 1:52 PM
Dikemaskini: 6:09 AM

Seorang menteri kabinet menyatakan kekeliruannya berhubung dua menteri yang mengeluarkan kenyataan bertentangan tentang status projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), walaupun mereka menghadiri mesyuarat yang sama.

Menteri itu merujuk kepada pengesahan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali berhubung pembatalan projek mega itu, manakala Menteri Kewangan Lim Guan Eng pada mulanya berkata Azmin tiada ketika mesyuarat membincangkan perkara itu.

"Dalam kes Lim dan Azmin, dua kenyataan bertentangan itu membingungkan saya.

"Lim berkata Azmin tidak hadir mesyuarat dan maka tidak tahu apa yang berlaku. Tidak, Azmin ada di mesyuarat," katanya yang enggan namanya didedahkan, kepada Malaysiakini.

Akhbar Singapura Straits Times sebelum ini melaporkan kerajaan dalam langkah mencari kontraktor baru untuk projek ECRL, bagi menggantikan syarikat China, China Communication Construction Company Ltd (CCCC).

Pada Sabtu lalu, Azmin berkata kabinet telah memutuskan untuk membatalkan projek itu kerana kerajaan perlu membayar faedah sebanyak RM500 juta setap tahun jika ia diteruskan.

Beliau berkata ia diputuskan dalam mesyuarat kabinet dua hari sebelumnya.

Lim kemudian menjelaskan beliau tidak bermaksud Azmin tiada dalam mesyuarat tetapi mungkin "tidak dimaklumkan" tentang beberapa perkara yang diputuskan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dalam mesyuarat.

"Saya terkejut melihat pengumuman (Azmin) tapi mungkin itu kedudukannya," kata Lim.

Lim kemudian sekali lagi menjelaskan "kejutannya" berhubung masa kenyataan Azmin dibuat dan bukan isi kandungannya.

Semalam, beliau berkata kabinet akan membuat pengumuman rasmi berhubung status ECRL minggu depan.

Menteri itu berkata soal pembatalan projek itu tidak diputuskan dalam mesyuarat kabinet yang dipengerusikan Mahathir.

"Perdana menteri memberi arahan jelas untuk terus mengkaji kontrak ECRL. Kita ada angka sasaran dan perlu menimbangnya.

"Setakat pengetahuan saya, tiada keputusan jelas untuk membatalkannya, tetapi perbincangan perlu diteruskan dan ia mungkin membawa kepada pembatalan kontrak," kata sumber itu lagi.

Sebelum ini, kerajaan dilaporkan mahu mengurangkan kos projek bernilai RM81 bilion itu sebanyak separuh, selain mahu penggunaan bahan tempatan.

Menteri itu berkata pembatalan hanya akan berlaku jika syarikat China tidak bersetuju dengan harga yang dihasratkan kerajaan.

Lihat Komen
ADS