Malaysiakini BERITA

Dr M nasihat elak keluar kenyataan ECRL buat masa ini, kata Guan Eng

Annabelle Lee

Diterbitkan  |  Dikemaskini

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata beliau telah dinasihatkan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad agar tidak membuat sebarang pengumuman ketika ini berhubung projek Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL).

"Saya telah berjumpa dengan Dr Mahathir pagi ini dan beliau telah menasihatkan saya untuk tidak mengeluarkan sebarang pengumuman buat seketika," katanya dalam sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

Lim turut meminta agar semua pihak menunggu untuk kenyataan rasmi berhubung projek itu.

"Sebaik kita sedia (untuk buat pengumuman), kita akan maklumkan," tambah Lim apabila ditanya tarikh pengumuman itu akan dibuat.

Terdahulu, dalam perkembangan sama, Dr Mahathir berkata, projek ECRL akan menambah hutang negara sekiranya diteruskan.

Tambah pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu, jumlah pampasan yang perlu dibayar kepada kontraktor projek ECRL akan lebih besar berbanding hutang negara sekiranya projek itu diteruskan.

Namun, tanpa mengulas panjang, Dr Mahathir meminta semua pihak menunggu pengumuman Kementerian Kewangan berhubung perkara itu dalam masa terdekat.

Sabtu lalu, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali berkata kabinet telah memutuskan untuk penamatan kontrak projek berkenaan dan keputusan itu, jelas beliau dibuat dalam mesyuarat dua hari sebelumnya.

Lim kemudian dilapor media sebagai "terkejut" dengan kenyataan yang dibuat Mohamed Azmin dan tidak menolak kemungkinan menteri hal ehwal ekonomi itu "tidak dimaklumkan perkara tertentu" berhubung projek berkenaan.

Bagaimanapun, Lim kemudian menjelaskan bahawa beliau hanya terkejut dengan masa pengumuman itu dan bukannya kandungan pengumuman Mohamed Azmin.