Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bekas YDP Yadim persoal pelantikan Adun DAP
Diterbitkan:  Jan 29, 2019 3:38 PM
Dikemaskini: 7:38 AM

Bekas Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Dr Asyraf Wajdi Dusuki mempersoal pelantikan Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) dari DAP sebagai anggota lembaga pemegang amanah yayasan itu.

Asyraf yang juga Ketua Pemuda Umno mendakwa ini kerana DAP merupakan parti yang secara konsisten tidak mahu mengiktiraf Islam sebagai agama rasmi bagi negara ini.

"Apa tujuan YB Dr Mujahid Yusof Rawa melantik Adun DAP sebagai anggota lembaga pemegang amanah Yadim sedangkan DAP adalah parti yang tidak pernah mahu iktiraf Islam sebagai agama negara, malah konsisten sejak penubuhannya sehingga kini mahu menjadikan Malaysia sebuah negara sekular.

"Yadim seharusnya kekal sebagai badan dakwah ulung melangkaui parti politik yang berperanan melebarkan kefahaman Islam dan menyebarkan dakwah Islamiah dan Islahiah di kalangan rakyat sejak penubuhannya 1974.

"Nampaknya satu persatu institusi Islam mula diusik dan dirobek oleh Kerajaan PH (Pakatan Harapan) yang didominasi DAP kini," katanya dalam satu hantaran di Facebooknya hari ini.

Untuk rekod, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng pernah mengulangi pendirian bahawa parti itu tegas memperakui Islam sebagai agama rasmi di negara ini.

Terdahulu, Mujahid yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri hari ini mengesahkan pelantikan Adun Paloh, Johor Sheikh Omar Ali sebagai anggota lembaga pemegang amanah Yadim.

Mujahid berkata pelantikan Adun dari DAP itu tidak sepatutnya mencetuskan kontroversi kerana pemilihannya dibuat berdasarkan kelayakan dimilikinya.

Sebelum itu sumber memberitahu Malaysiakini Sheikh Omar akan dilantik ke jawatan itu untuk tempoh dua tahun dan watikah pelantikannya akan disampaikan oleh Mujahid di Putrajaya esok.

Sheikh Omar, yang juga exco pembangunan usahawan, koperasi, penerangan dan ekonomi kreatif Johor, mendapat pendidikan peringkat ijazah dalam bidang usuluddin di Universiti Malaya (UM) dengan pengkhususan dalam dakwah.

Pelantikan Sheikh Omar itu dipercayai yang pertama melibatkan pemimpin DAP ke dalam institusi agama berkaitan kerajaan pusat.

Yadim kini dipimpin oleh yang dipertuanya yang baru Nik Omar Nik Abdul Aziz, anak bekas mursyidul am PAS Nik Aziz Nik Mat.

Untuk rekod Asyraf yang juga bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dilantik menerajui Yadim pada tahun 2013.

Lihat Komen
ADS