Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
PAS dakwa DAP bakal mencorakkan Yadim
Diterbitkan:  Jan 30, 2019 1:16 PM
Dikemaskini: 8:29 AM

PAS hari ini menyifatkan penstrukturan baru Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH) bakal menyaksikan DAP mencorak badan amanah itu dan akan menyimpang jauh daripada matlamat asal penubuhannya pada tahun 1974.

Menurut Setiausaha Agung PAS, Takiyudin Hassan, Yadim dia ambang akan berubah menjadi entiti untuk kepentingan politik PH.

Ini, katanya, berdasarkan komposisi ahli-ahli lembaga badan itu yang kini dibarisi sebahagian besarnya di kalangan pemimpin parti-parti PH termasuk dari DAP.

“Bagi PAS perlantikan Adun DAP, Sheikh Omar Ali, sebagai salah seorang ahli lembaga Yadim memperlihatkan kerajaan PH akan membiarkan Yadim turut dicorakkan oleh DAP walaupun DAP selama ini tidak pernah bersetuju dengan sebarang dasar Islam walaupun tidak langsung melibatkan rakyat bukan Islam.

“Ini termasuklah sikap DAP terhadap peruntukan-peruntukan jelas dalam perlembagaan persekutuan mengenai kedudukan Islam dan institusi agama Islam, usaha memperkasakan mahkamah syariah dan perlaksanaan Syariat Islam di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini yang disiarkan menerusi Harakahdaily.

Sehubungan itu, kata Takiyudin, PAS turut meragui dasar dan pendekatan baru Yadim mampu mencapai matlamat penubuhannya untuk menyelaraskan kegiatan badan-badan dakwah serta badan bukan kerajaan (NGO).

Semalam, Malaysiakini melaporkan Adun Paloh, Johor Sheikh Omar Ali bakal  dilantik menjadi anggota lembaga pemegang amanah Yadim, hari ini.

Sheikh Omar, yang juga exco pembangunan usahawan, koperasi, penerangan dan ekonomi kreatif Johor, mendapat pendidikan peringkat ijazah dalam bidang usuluddin di Universiti Malaya (UM) dengan pengkhususan dalam dakwah.

Takiyuddin juga menepelak kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr Mujahid Yusof yang mempertahankan perlantikan pemimpin DAP itu.

“Amatlah dangkal kerana sebagai seorang ahli DAP apatah lagi Adun DAP, beliau adalah terikat kepada dasar-dasar DAP bukannya kepada ilmu yang dipelajarinya.

“PAS merasakan ramai lagi tokoh-tokoh agamawan yang lebih berwibawa dari segi ilmu dan mendapat keyakinan umat Islam berbanding beliau, walaupun bukan keturunan ‘Sheikh’, boleh dilantik menduduki lembaga Yadim.

“PAS menyeru kerajaan mengkaji semula struktur keanggotaan Yadim demi memastikan Yadim tidak lari dari matlamat asal penubuhannya terutama visinya iaitu ‘menerajui urusan dakwah berdasarkan al-Qur’an dan as-Sunnah’,” katanya.

Lihat Komen
ADS