Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Saksi: Orang Razak Baginda ekori, ancam bunuh Altantuya

Namiraa Gerelmaa mendakwa dua lelaki telah mengekori mereka dan mengancam untuk membunuh sepupunya, Altantuya Shaariibuu.

Mendakwa mereka diupah Abdul Razak Baginda, Namiraa, 35, berkata ia berlaku dalam tempoh ketibaannya di Kuala Lumpur pada Oktober 2006 sehingga di hari Altantuya ditemui mati.

Dia berkata dua lelaki itu - dikenal sebagai Bala dan Suras Kumar - berlegar di sekitar Hotel Malaya di mana mereka menginap di tingkat lapan bersama-sama seorang lagi rakan mereka, Urintuya Gal-Ochir.

Bala lebih tua dan pendek manakala Suras tinggi dan kurus, katanya lagi.

"Mereka ada menunggu ketika kami keluar dari bilik untuk makan. Mereka mengekori kami.

"Kami berasa agak takut...," katanya ketika memberi keterangan di Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini, selaku saksi ketiga saman sivil RM100 juta keluarga Altantuya terhadap Abdul Razak, kerajaan Malaysia dan dua individu yang sabit kesalahan atas pembunuhan warga Mongolia itu.

Kata Namiraa lagi, Altantuya memberi amaran kepadanya agar berhati-hati dengan dua orang itu kerana mereka merupakan "orang Abdul Razak".

"Mereka pernah mengetuk pintu dan kami buka sedikit, mereka menolaknya dan masuk ke bilik hotel kami...Mereka berbaring di katil, menghisap rokok dan meludah ke lantai.

"Mereka bercakap dengan Altantuya dalam bahasa Inggeris. Pernah sekali Dia tiba-tiba berhenti, dan berkata kepada kami dalam bahasa Mongolia bahawa lelaki yang lebih tinggi itu berkata, 'kamu mahu tengok bagaimana kamu jatuh dari tingkat lapan?'" katanya ketika mebaca kenyataan saksi.

'Bahaya besar'

Walaupun dengan insiden itu, Namiraa berkata mereka bersetuju untuk berjumpa dengan dua lelaki itu keesokannya selepas mereka berjanji tidak akan lagi mengancam mereka.

"Petang itu hanya Suras yang datang ke bilik. Dia dan Altantuya berbicara panjang dalam bahasa Inggeris, sambil menterjemahkannya (kepadanya).

"Lelaki itu berkata nyawa ketiga-tiga kami dalam bahaya...kami mesti pulang ke Mongolia jika tidak nyawa kami dalam bahaya besar."

Namiraa menceritakan semula bagaimana Altantuya kemudiannya merayu agar dibenarkan berjumpa Razak Baginda untuk kali terakhir.

Suras menolaknya dan meninggalkan bilik hotel ketika subuh, katanya.

Kata Namiraa, pertemuan terakhirnya dengan seorang lagi lelaki, Bala, adalah di luar rumah Razak Baginda pada hari sama, ketika Altantuya cuba bertemu Razak, tetapi diberitahu untuk pulang dan Razak akan mengaturkan satu pertemuan kemudian.

Menurutnya lagi, Altantuya meninggalkan hotel pada pukul sembilan malam itu untuk berjumpa Razak.

Itulah kali terakhir Altantuya dilihat sebelum kematiannya.

Terdahulu dalam testimoninya, Namiraa berkata dia pertama kali melihat dua lelaki itu ketika di luar pejabat Abdul Razak di Kuala Lumpur.

Ketika itu mereka berdua mendekati Altantuya untuk meminjam pemetik api, katanya.

Namiraa berkata mereka ke pejabat Abdul Razak kerana Altantuya ingin menuntut bayaran untuk beberapa kerja penterjemahan yang dilakukannya.

Lihat Komen
ADS