Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Bagi Mahfuz Omar, bekas perdana menteri Najib Razak - yang kini menggelar dirinya sebagai 'Raja Troll' - tidak menyumbang kepada kemenangan BN di PRK Cameron Highlands.

Sebaliknya kata timbalan menteri sumber manusia itu, PAS merupakan faktor utama kemenangan calon BN Ramli Mohd Nor pada 26 Januari lalu.

"Najib tidak menyumbang apa-apa di PRK Cameron Highlands, yang menyumbang ialah undi PAS.

"PAS mendapat lebih 3,000 undi (pada PRU ke-14), tetapi (pada PRK ini) lebih 1,700 (pengundi PAS) itu membantu BN," katanya ketika sidang media di Putrajaya, hari ini.

Mahfuz mendakwa baki lebih 1,800 pengundi yang memilih PAS pada PRU lalu tidak membantu BN kerana tidak setuju kerjasama antara Umno dan PAS.

Beliau dipercayai merujuk kepada pertambahan undi BN pada PRK kali ini. Pada PRK minggu lalu, Ramli mendapat 12,038 undi, iaitu lebih 1,731 undi berbanding calon BN pada PRU lalu, C Sivarraajh yang mendapat 10,307 undi.

Pakatan Harapan (PH) pula mendapat kurang 910 undi. Pada PRK ini, M Manogaran mendapat 8,800 undi tetapi pada PRU lalu beliau meraih 9,710 undi.

Najib dilihat lebih giat berkempen dalam PRK Cameron Highlands berbanding empat PRK sebelum ini selepas PRU ke-14.

Imejnya juga tampak lebih baik berbanding tempoh awal kekalahan BN apabila hantaran di Facebooknya yang mengkritik kerajaan dengan nada sindiran, mendapat perhatian.

Mahfuz berkata beliau tidak terkejut dengan kemenangan BN di Cameron Highlands memandangkan ia adalah kawasan tradisi BN.

"Turun-temurun kerusi itu dimenangi BN ataupun Perikatan. Kemenangan ini cuma status quo dan bukan petunjuk orang sudah tidak mahu sokong PH," katanya lagi.

Siasatan terhadap syarikat sarung tangan

Dalam pada itu, Mahfuz mengesahkan kementeriannya telah mengarahkan siasatan dibuat terhadap syarikat pembuat sarung tangan yang didakwa tidak membayar gaji selama tiga bulan kepada 2,000 pekerja warga Nepal.

Beliau berkata sebanyak 17 kertas siasatan telah dibuka terhadap syarikat itu, WRP Asia Pasifik.

"Saya difahamkan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) telah diarahkan untuk membuat siasatan.

"(Antara kertas siasatan berkenaan) kesalahan lewat bayar upah pekerja, lewat bayar upah lebih masa dan potongan upah yang tidak sah," katanya.

Menurut laporan Malaysiakini semalam, sebanyak 2,000 pekerja warga Nepal di kilang syarikat itu di Sepang melancarkan mogok bermula Ahad lalu bagi menuntut syarikat melunaskan gaji mereka.

Bagaimanapun mogok itu ditamatkan semalam selepas pihak pengurusan berjanji akan membayarnya dalam minggu ini.

Sumber memberitahu Malaysiakini pegawai JTK dari Bangi juga berada di tempat kejadian pagi semalam untuk pemeriksaan, serta bertemu dengan pekerja yang mogok dan pihak pengurusan mereka.




Lihat Komen
ADS