Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Isu tribunal bekas ahli SPR: AG perlu minta maaf, betulkan keadaan

ULASAN | Pada 24 Jan lalu, artikel Kosmo Online bertajuk "Tubuh tribunal siasat tuduhan serius membabit ahli SPR" telah melaporkan:

"Satu tribunal ditubuhkan bagi menyiasat tuduhan serius membabitkan enam ahli Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung peranan mereka dalam persiapan dan pelaksanaan pilihan raya umum (PRU) ke 14 ketika sebelum dan hari pengundian pada 9 Mei 2018.

"Peguam Negara, Tommy Thomas berkata tribunal itu dianggotai lima hakim bersara yang pernah memegang jawatan sebagai hakim Mahkamah Persekutuan dan mereka dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong menurut Perkara 114(3), 125(3) dan 125(4) Perlembagaan Persekutuan.

"Katanya, mereka terdiri daripada Amar Steve Shim Lip Kiong selaku pengerusi dan dianggotai oleh Zaleha Zahari, Suriyadi Halim Omar, Jeffrey Tan Kok Wha dan Dr Prasad Sandosham Abraham.

"Tribunal bersidang di Mahkamah Klang pada pukul 10 pagi, 28 Januari lalu untuk menimbang teliti hal perkara berhubung mandat daripada Yang di-Pertuan Agong berkenaan dengan enam anggota SPR iaitu bekas Timbalan Pengerusi SPR, Othman Mahmood, Md Yusop Mansor, Abdul Aziz Khalidin, Sulaiman Narawi, K Bala Singam dan Leo Chong Cheong."

Namun, pada hari pertama persidangan tribunal berkenaan, rakyat Malaysia telah dikejutkan dengan laporan Malaysiakini yang bertajuk "Tribunal siasat dakwaan salah laku enam ahli SPR hanya akademik".

"Tribunal khas untuk menyingkirkan enam bekas anggota SPR menjadi keliru selepas seorang peguam yang dilantik oleh Jabatan Peguam Negara berkata tindakan itu adalah perkara akademik memandangkan semua mereka telah meletakkan jawatan.

"Pada hari pertama pendengaran itu, peguam M Puravelan yang mewakili Badan Peguam Malaysia memberitahu panel lima anggota berkenaan bahawa tujuan ditubuhkan tribunal itu telah diambil alih oleh peletakan jawatan enam anggota SPR itu yang berkuat kuasa pada 1 Januari lalu.

"Dan dari segi perkembangan, sebagai pegawai di mahkamah ini, kita bertanggungjawab untuk memberitahu bahawa, itulah kedudukan perundangan undang-undang Malaysia dan undang-undang Am,” katanya pada permulaan tribunal itu."

Tommy Thomas

Apa yang lebih mengejutkan lagi adalah kenyataan Tommy Thomas seperti dalam Laporan Malaysiakini pada 30 Jan yang bertajuk "AG jelaskan mengapa tribunal bukan sekadar akademik".

"Peguam Negara, Tommy Thomas tampil mempertahankan isu penubuhan tribunal bagi menyiasat enam bekas anggota SPR yang menurut sesetengah pihak hanya bersifat akademik.

"Ini termasuk kenyataan oleh pengerusi tribunal itu sendiri, Steve Shim Lip Kiong yang mempersoalkan penubuhan itu memandangkan semua enam anggota SPR berkenaan telah meletak jawatan pada 1 Januari lalu.

"Menerusi satu kenyataan media, Thomas menjelaskan semua mereka tidak kebal daripada penelitian dan siasatan tribunal semata-mata kerana mereka telah meletakkan jawatan.

"Pertuduhan-pertuduhan (salah laku) ini amat serius, dan sekiranya dibuktikan akan menunjukkan kesalahan diri anggota-anggota SPR dalam cara pengelolaan PRU14.

"Tempoh yang relevan yang ditugaskan untuk siasatan tribunal ialah pada hari mengundi (9 Mei 2018).

"Anggota-anggota ini masih memegang jawatan dalam SPR pada masa tersebut dan tindakan mereka pada masa itulah yang disiasat, katanya sambil menjelaskan tribunal itu mempunyai dua mandat yang berasingan.

"Tommy berkata jika tribunal berpuas hati sebegitu, maka mereka perlu membuat syor kepada Yang di-Pertuan Agong tentang tindakan yang boleh diambil, termasuk memecat anggota SPR berkenaan."

Dicetuskan Pejabat Peguam Negara sendiri

Malangnya, rentetan peristiwa dan latar belakang penubuhan dan prosiding tribunal itu, seperti yang dirumuskan di Perenggan 1 hingga 3 di atas, telah pada dasarnya menimbulkan satu lagi krisis perlembagaan yang sepatutnya menjadi tanggungjawab semua pihak untuk dielakkan dan dihindarkan dalam era "Malaysia Baru" ini.

Namun, apa yang lebih mengejutkan adalah ia telah mengakibatkan dan tercetus dari Pejabat Peguam Negara sendiri, sedangkan antara tanggungjawab utamanya adalah sebagai penasihat undang-undang kerajaan.

Persoalan perlembagaan terpenting:

Adakah Perlembagaan Persekutuan membenarkan penubuhan tribunal di bawah Perkara 114(3) yang perlu dibaca bersama Perkara 125(3), terhadap anggota SPR setelah mereka sudah pun meletakkan jawatan dan peletakan jawatan diterima atau pun tidak dibantah pada atau sebelum tarikh efektifnya, iaitu 1 Jan 2019.

Pembacaan satu (1) frasa yang menjadi kata kunci kepada persoalan di atas adalah perkataan "If the Prime Minister, ...represents to the Yang di-Pertuan Agong that a judge of the Federal Court (digantikan dengan 'a member of the Election Commission' menurut Perkara 114(3)) ought to be removed... ", yang wujud di Perkara 125(3) Perlembagaan Persekutuan, yang dengan jelas memberi jawapan bahawa seseorang anggota SPR yang ingin dilucutkan jawatan semestinya masih dalam jawatan pada masa penubuhan tribunal berkenaan.

Walhal, bukankah peguam yang dilantik oleh Tommy untuk mewakili Pejabat Peguam Negara, iaitu M Puravelan sendiri telah mengakui di hadapan tribunal berkenaan pada hari pertama prosiding bahawa tugasan tribunal itu sudah menjadi isu akademik sahaja, disebabkan peletakan jawatan kesemua anggota SPR terbabit.

Bagaimanakah peguam lantikan Tommy sendiri mempunyai pendapat yang bercanggah dengan pendapat Tommy akan kerelevenan tribunal ini untuk diteruskan?

Kini tanggungjawab Tommy

Percanggahan yang memalukan seperti ini yang melibatkan isu berkaitan perlembagaan, tidak boleh dibenarkan berlaku sama sekali.

Secara alternatif, sekiranyalah peguam negara Tommy sememangnya telah berhasrat untuk adakan tribunal berkaitan dakwaan salah laku yang ditampilkan terhadap kesemua anggota SPR berkenaan, maka kenapakah Tommy tidak menasihati kerajaan (perdana menteri) untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong supaya surat-surat peletakan jawatan kesemua anggota SPR berkenaan pada ketika itu, sama ada:

(a) Tidak diterima sama sekali sehingga penubuhan dan keputusan tribunal berkenaan?

(b) Diterima bersyaratkan kepada keputusan tribunal berkenaan.

Walhal kesahihan pendapat peguam lantikan Pejabat Peguam Negara, iaitu M Puravelan bukan sahaja disokong oleh peruntukan Perlembagaan Persekutuan (seperti yang dinyatakan di Perenggan 6 di atas) malah peletakan jawatan kesemua anggota SPR berkenaan, tidak langsung menutup jalan perlembagaan dan perundangan sebenar untuk Tommy teruskan dengan hasrat beliau untuk meneliti dan mengambil tindakan berkaitan kesemua alegasi terhadap anggota-anggota SPR berkenaan.

Melalui nasihat yang wajar kepada kerajaan (perdana menteri) untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk menubuhkan satu suruhanjaya siasatan diraja (RCI) dengan terma-terma rujukan dakwaan berkaitan, supaya RCI dapat membuat cadangan yang sewajarnya berhubung tindakan lanjut yang perlu diambil di sisi perlembagaan dan perundangan terhadap anggota-anggota SPR berkenaan, sekiranya dakwaan salah laku tersebut adalah terbukti kelak.

Perlu juga dinyatakan bahawa tindakan Tommy dalam mengeluarkan kenyataan yang bertentangan dengan hujah peguam yang dilantik oleh beliau untuk mewakili pejabat peguam negara, iaitu M Puravelan semasa prosiding hari pertama di hadapan tribunal berkenaan, yang kini sebenarnya telah ditangguhkan untuk keputusan isu yang sama, adalah tidak mematuhi tata susila dan peradaban mana-mana pihak yang terlibat dalam prosiding berbentuk kehakiman yang menanti keputusan.

Ini kerana ia boleh berbentuk "salah campur dalam urusan keadilan" dan boleh dalam budi bicara mutlak pihak berkenaan dianggap secara lanjut sebagai penghinaan terhadap tribunal berkenaan.

Walau apa sekalipun, ia kini adalah kewajiban untuk Tommy mengambil segala langkah yang perlu di sisi perlembagaan dan perundangan untuk memperbetulkan segala kesalahan dan kekhilafan yang memalukan dan menjengkelkan ini, dan seterusnya untuk meminta maaf kepada perdana menteri Malaysia dan kerajaan Malaysia di atas pelaksanaan tugas yang memalukan dan menjengkelkan ini.


MOHD HANIFF KHATRI ABDULLA adalah seorang peguam.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS