Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
S'pura sahkan terima bayaran kos penangguhan HSR
Diterbitkan:  Jan 31, 2019 10:06 PM
Dikemaskini: 2:06 PM

Kerajaan Singapura mengesahkan telah menerima bayaran kos abortif, atau kos terbantut, susulan penangguhan projek Keretapi Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur - Singapura (HSR).

Kementerian Pengangkutan Singapura berkata pihaknya telah menerima makluman daripada kerajaan Malaysia berhubung perkara itu.

"Kami telah menerima pengesahan daripada kerajaan Malaysia melalui koresponden diplomatik bahawa mereka telah mengirimkan kerajaan Singapura bayaran kos abortif yang ditanggung Singapura dengan menangguhkan projek HSR," katanya dalam kenyataan yang disiarkan di laman rasmi kementerian itu.

Pada 5 September lalu, kerajaan Malaysia dan Singapura menandatangani Surat Sampingan Projek HSR sebagai persetujuan menangguhkan projek itu sehingga Mei 2020.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali berkata kerajaan juga setuju untuk membayar kos abortif sebanyak S$15 juta (RM45.1 juta) kepada Singapura.

Bayaran itu perlu dijelaskan paling lewat 31 Januari, iaitu hari ini.

Sepanjang penangguhan itu, kedua-dua negara jua setuju untuk terus berbincang berhubung cara mengurangkan kos projek itu

Semasa tempoh penangguhan itu, Malaysia dan Singapura akan terus membincangkan cara terbaik untuk Projek HSR dengan tujuan mengurangkan kos," kata kenyataan itu.

Lihat Komen
ADS