Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
HSR ditangguh hingga 2020, k’jaan bayar kos RM45 juta
Diterbitkan:  Sep 5, 2018 4:05 PM
Dikemaskini: 10:56 AM

Malaysia dan Singapura hari ini menandatangani Surat Sampingan Projek Keretapi Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur - Singapura (HSR) bagi persetujuan bersama menangguhkan projek berkenaan selama dua tahun sehingga Mei 2020.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, sehubungan dengan permintaan Malaysia untuk menangguhkan projek itu, kerajaan bersetuju untuk membayar kos abortif atau kos terbantut sebanyak S$15 juta (RM45.1 juta) kepada kerajaan Singapura.

Kos itu perlu dijelaskan pada atau sebelum 31 Januari tahun hadapan.

"Apabila saya pertama kali bertemu Menteri Pengangkutan dan Menteri Penyelaras Infrastruktur Singapura, Khaw Boon Wan, saya menyampaikan mandat daripada Kabinet Malaysia bahawa kami ingin projek itu ditangguhkan selama sekurang-kurangnya tiga hingga empat tahun," katanya dalam satu sidang media bersama dengan Khaw di Putrajaya, hari ini.

Bagaimanapun, Azmin berkata, beliau bersetuju dengan Khaw bahawa jika tempoh penangguhan itu melebihi dua tahun, model perniagaan berkenan pasti akan berubah dengan kos yang terus meningkat.

Terdahulu, Azmin dan Khaw menukar dokumen undang-undang di Putrajaya untuk mengubah Perjanjian Dua Hala HSR berdasarkan pemahaman baru.

Pemeteraian perjanjian itu disaksikan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Timbalannya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Timbalan Perdana Menteri Singapura, Teo Chee Hean.

Mengenai kemungkinan Malaysia membatalkan projek itu, Azmin berkata: "Saya tidak mahu membuat kesimpulan kerana perjanjian ditandatangani hari ini dengan jelas menyatakan komitmen kami untuk meneruskan projek itu selepas Mei 2020."

Kenyataan bersama oleh Singapura dan Malaysia mengenai projek HSR itu berkata, jika pada 31 Mei 2020 Malaysia tidak meneruskan Projek HSR, Malaysia juga akan menanggung kos yang dipersetujui oleh Singapura dalam memenuhi Perjanjian Dua Hala HSR. "Semasa tempoh penangguhan itu, Malaysia dan Singapura akan terus membincangkan cara terbaik untuk Projek HSR dengan tujuan mengurangkan kos," kata kenyataan itu.

Menurutnya, Perkhidmatan Ekspres HSR antara Singapura dan Kuala Lumpur dijangka bermula 1 Januari 2031 dan bukannya tarikh asal pada 31 Disember 2026.

"Berikutan tempoh penangguhan tersebut, syarikat infrastruktur Singapura dan Malaysia SG HSR Pte Ltd dan MyHSR Corporation Sdn Bhd akan membatalkan tender bersama antarabangsa untuk HSR Assets Company (AssetsCo).

"Menteri terbabit menegaskan manfaat bersama daripada Projek HSR kerana ia akan membawa kedua-dua negara lebih dekat dengan meningkatkan hubungan, memperdalam hubungan rakyat dengan rakyat dan memperkukuhkan lagi kerjasama ekonomi," katanya.

Sementara itu, Khaw berkata, di bawah pemahaman baru itu, projek tersebut dianggap batal jika pembinaan tidak diteruskan pada Mei 2020 dan Malaysia akan membayar balik Singapura untuk kos yang dibazirkan yang mereka lakukan untuk memenuhi perjanjian HSR.

"Malaysia telah menjelaskan alasannya untuk menangguh projek berkenaan, mereka memutuskan untuk menggantungnya selama setahun dan kami berpendapat kami dapat menguruskannya.

"Tetapi jika tempoh lebih lama, katakan empat tahun, keadaannya agak sukar kerana ia akan menjejaskan kedua-dua negara dan projek itu sendiri," katanya.

Khaw berkata, ramai warga Singapura berharap agar projek HSR direalisasikan dan kerajaannya tetap komited untuk projek tersebut.

Menurutnya, walaupun perjanjian dua hala HSR tidak mempunyai peruntukan bagi penangguhan projek itu, Singapura telah memberikan Malaysia satu pertimbangan yang adil dalam semangat kerjasama dua hala.

 

Lihat Komen
ADS