Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Gara-gara 1MDB bekas CEO Goldman mungkin hilang bonus RM58j
Diterbitkan:  Feb 2, 2019 9:28 AM
Dikemaskini: 1:30 AM

Gara-gara 1MDB, bekas ketua pegawai eksekutif Goldman Sachs, Lloyd Craig Blankfein, mungkin hilang bayaran bonus sebanyak AS$ 14.245 juta (RM58.3 juta)

Hal ini berdasarkan pemfailan bank antarabangsa berkenaan dengan Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa Saham Amerika Syarikat (SEC).

Dalam pemfailan itu, Goldman mengumumkan Blankfein akan menerima pampasan tahunan sebanyak AS$ 20.5 juta (RM84 juta) untuk 2018. Bagaimanapun sebanyak AS$ 14.245 juta daripada pampasan ini, yang sepatutnya dibayar dalam unit saham terhad, akan terikat dengan keputusan kes 1MDB.

Goldman menjelaskan peruntukan yang sama akan dikenakan kepada eksekutif kanan lain, termasuk Ketua Pegawai Eksekutifnya sekarang, David M Solomon.

"Memandangkan penyiasatan berkaitan 1MDB daripada pihak kerajaan dan pengawal selia masih berjalan, lembaga pengarah meluluskan peruntukan baru yang telah dimasukkan ke dalam terma dan syarat penghargaan berasaskan pegangan saham pada akhir tahun 2018 yang diberikan kepada setiap pekerja yang berkhidmat sebagai eksekutif kanan firma ini pada 31 Disember 2018.

"Peruntukan ini akan menyediakan jawatankuasa (pampasan) dengan kelonggaran untuk mengurangkan saiz penganugerahan sebelum pembayaran dan/ atau kehilangan pemberian saham terhad jika didapati keputusan prosiding 1MDB akan memberi kesan kepada jawatankuasa yang memutuskan pampasan akhir tahun 2018 terhadap mana-mana individu ini," katanya.

Tiga bon bernilai RM26.3 bilion

Blankfein berkhidmat sebagai ketua pegawai eksekutif bank itu sejak 2006 tetapi digantikan pada September 2018. Beliau kekal sebagai pengerusi sehingga akhir tahun 2018.

Menurut pemfailan, pampasan yang diluluskan untuk Salomon pada 2018 berjumlah AS$ 23 juta (RM94.2 juta), yang mana sejumlah AS$ 15,412,125 (RM63.1 juta) dalam bentuk unit saham terhad.

Unit saham terhad hanya boleh dijual selepas lima tahun ia diberikan.

Selanjutnya, Goldman dalam pemfailan berkata firma itu menahan anugerah Pelan Insentif Prestasi Jangka Panjang (LTIP) yang telah diberikan pada tahun 2011 kepada eksekutif bank itu yang telah bersara.

Siasatan mengenai 1MDB yang berterusan oleh kerajaan dan pihak pengawal selia sebahagiannya berkait dengan kejadian yang berlaku semasa tempoh pelaksanaan pampasan ini, dan jawatankuasa bank itu menyimpulkan adalah wajar untuk menangguhkan keputusannya di bawah anugerah berkenaan sehingga lebih banyak maklumat tersedia," katanya.

Goldman bertanggungjawab mengatur penerbitan tiga bon untuk 1MDB antara 2012 dan 2013 berjumlah AS$ 6.5 bilion (RM26.63 bilion) dengan bayaran yuran yang cukup tinggi.

Laporan mendedahkan hasil daripada dana penerbitan bon itu kemudiannya disalahgunakan oleh pegawai utama dalam 1MDB.

Solomon telah meminta maaf kerana peranan Goldman dalam perjanjian itu tetapi menyalahkan kerajaan Malaysia sebelum ini, mendakwa ia telah memperdaya bank berkenaan.

Kerajaan BN di bawah pimpinan perdana menteri Najib Razak, yang dituduh melakukan rompakan 1MDB ketika itu, menyaksikan pemerintahannya selama 61 tahun berakhir pada pilihan raya umum 2018.

Lihat Komen
ADS