Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Najib rayu keputusan mahkamah tinggi, bicara kes Selasa depan mungkin tangguh

Mahkamah Rayuan diberitahu bekas perdana menteri Najib Razak telah memfailkan notis rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur awal hari ini untuk meneruskan perbicaraan yang dijadualkan berlangsung Selasa minggu depan.

Perbicaraan kes Najib ini membabitkan tujuh pertuduhan berkaitan anak syarikat 1MDB, SRC International Sdn Bhd.

Muhammad Shafee Abdullah yang mengetuai barisan peguambela Najib berkata mereka memfailkan permohonan itu supaya mendapatkan perintah penangguhan sementara menunggu selesai rayuan yang mungkin akan menunda perbicaraan kes di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Ini selepas Peguam Negara Tmommy Thomas menarik balik sijil untuk menukar tujuh pertuduhan tersebut dari mahkamah sesyen ke mahkamah tinggi. Penarikan balik sijil AG itu disebabkan keputusan kes penting Semenyih Jaya Sdn Bhd dan M Indira Gandhi yang memberikan mahkamah kuasa untuk mendengar sesuatu kes.

Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd menggunakan kuasa budi bicaranya di bawah Seksyen 417 (2) Kanun Acara Jenayah (CPC) bagi mengarahkan penukaran tujuh pertuduhan tersebut daripada mahkamah sesyen ke mahkamah tinggi.

Muhammad Shafee Abdullah yang mengetuai barisan peguam bela Najib memberitahu sidang tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Hakim Kamardin Hashim mengenai kemungkinan keputusan mahkamah tinggi tidak sesuai kerana memberi implikasi luas apabila Thomas menarik semula sijil pertukaran kes itu di bawah Seksyen 418A CPC.

Pembelaan bukan nak lambat perbicaraan

Shafee berkata hakim Nazlan sepatutnya membiarkan pendaftar mahkamah tinggi untuk memutuskan hakim yang akan mendengar kes itu dan bukanlah mendengar sendiri kes tersebut pada Selasa depan.

"Kesannya, anak guam saya memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi. Kami mahu pendengaran tiga rayuan yang ditetapkan hari ini ditangguhkan sehinggalah hal yang telah diputuskan (oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur) pada hari ini didengar terlebih dahulu," katanya.

Shafee berhujah apabila Thomas menarik balik sijil penukaran kes di bawah Seksyen 418A kesemua prosiding sebelum ini perlu dipertimbangkan sebagai pertuduhan.

Para hakim Mahkamah Rayuan, yang juga terdiri daripada Hakim Harminder Singh Dhaliwal dan Hakim Zabidin Mohd Diah, memberikan penangguhan terhadap pasukan pembelaan Najib terhadap rayuan yang ditetapkan hari ini dan esok.

Rayuan ini berkaitan Najib tidak menerima dokumen lanjut, tidak mendapat perintah mahkamah (gag) yang menghalang orang daripada membincangkan kes-kes SRC International dan 1MDB, serta juga fiat (kebenaran rasmi) yang diberikan kepada peguam Sulaiman Abdullah yang dilantik untuk membuat pendakwaan dalam kes ini.

Hakim Mahkamah Rayuan kemudian menetapkan 11 dan 12 Mac untuk mendengar ketiga-tiga rayuan itu sementara menunggu keputusan rayuan yang diajukan.

Shafee, yang dibantu peguam Havinderjit Singh, berkata rayuan pihak peguam bela bukan untuk melambatkan perbicaraan kerana kesemua isu ini dicipta oleh pendakwaan.

"Masalah mengenai sijil (pertukaran kes) itu, AG perlu tahu bahawa keputusan Semenyih Jaya dibuat dua tahun lalu dan keputusan Indira Gandhi setahun lalu.

"Namun, mengapa beliau memohon (menggunakan) Seksyen 418A dan tidak membiarkan Mahkamah Tinggi menggunakan budi bicaranya," katanya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS