Malaysiakini BERITA

Pemimpin PH jangan ulang kesilapan di Cameron - Pemuda Amanah

Haspaizi Zain  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

PRK SEMENYIH | Pemimpin PH yang memegang jawatan kerajaan dinasihatkan supaya tidak mengulangi kesilapan yang dilakukan pada pilihan raya kecil di Cameron Highlands baru-baru ini, seperti dakwaan menggunakan jentera milik kerajaan bagi tujuan berkempen.

Menjelaskan hal ini, Ketua Pemuda Amanah, Mohd Sany Hamzah berkata pilihan raya bukan pertembungan antara kerajaan dan parti politik yang bertanding.

"Saya berharap semua parti yang bertanding di Semenyih nanti dapat jaga integriti dan jangan gunakan sentimen agama dan perkauman.

"Kita juga nasihatkan pemimpin kerajaan baik perdana menteri, timbalan perdana menteri, menteri supaya tidak gunakan jentera kerajaan, kakitangan awam dan kenderaan kerajaan bagi berkempen.

"Kalau nak turun juga bawa kenderaan sendiri, jangan bawa program kerajaan, ini pertembungan antara parti politik dengan parti politik, bukan kerajaan dengan parti politik.

"Media juga perlu saksama beri liputan pada parti kerajaan dan pihak pembangkang," katanya kepada Malaysiakini.

Kesalahan PRK paling tinggi di Cameron

Kumpulan pembaharuan pilihan raya Bersih mencatatkan 23 kesalahan pada pilihan raya kecil Cameron Highlands baru-baru ini, berkata ia paling tinggi di antara semua pilihan raya kecil sejak pilihan raya umum ke-14.

Antara 23 kesalahan yang dicatat Bersih itu, 14 telah dilakukan oleh BN yang memenangi PRK itu manakala lima lagi oleh Pakatan Harapan. Dua dilakukan oleh PAS, yang tidak bertanding tetapi berkempen untuk BN.

Dua lagi kesalahan dilakukan oleh parti yang tidak dikenali. Bersih bertindak sebagai pemerhati pada pilihan raya kecil itu.

Antara kesalahan itu, BN dirakamkan mencetuskan ketegangan kaum sebanyak tujuh kali dan ketegangan agama sebanyak sekali serta menggunakan sumber kerajaan negeri. 

Bersih juga mencatat PH cuba membeli undi dan menggunakan pengaruh yang tidak wajar, termasuk berkempen pada hari mengundi dan menggunakan sumber kerajaan.

Sementara itu Mohd Sany berkata, pilihan raya sepatutnya menjadi medan pertembungan hujah dan idea bagi membina kehidupan rakyat.

"Biar masing-masing gunakan hujah, gunakan idea untuk membangunkan Semenyih. Kita tolak politik perkauman, agama.

"Kita menuju negara maju, rakyat boleh menilai dan kita perlu berpolitik secara sihat," katanya.