Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Najib: Siapa tipu, Bernama atau pegawai menteri?
Diterbitkan:  Feb 11, 2019 4:40 PM
Dikemaskini: 9:51 AM

Perdebatan isu pemalsuan sijil kelayakan melibatkan pemimpin Pakatan Harapan (PH) diteruskan Ahli Parlimen Pekan Najib Razak yang kini membangkitkan berhubung infografik agensi berita Bernama.

Melalui kenyataan di Facebook hari ini, bekas perdana menteri itu mempersoalkan biodata dalam infografik Bernama dengan penafian menteri yang terlibat.

"Adakah Bernama yang menipu ataupun pegawai-pegawai menteri yang menipu? Semalam, Menteri Besar Perak (Ahmad Faizal Azumu) telah mengaku beliau tidak memiliki ijazah universiti dan bukan seorang graduan.

"Ini selepas pengakuan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin dan Menteri Pertahanan Mohamad Sabu bahawa mereka juga tak pernah kata mereka adalah graduan dari universiti.

"Tetapi apa yang pelik ialah berita palsu bahawa menteri-menteri ini adalah graduan ialah dari biodata yang dikeluarkan oleh saluran berita rasmi kerajaan - Bernama di dalam infografik-infografik mereka dan tersebar luas ketika dilantik sebagai menteri, iaitu kira-kira 9 bulan lalu.

"Apa yang mereka lakukan selama kira-kira 9 bulan itu? Diamkan diri," katanya.

Kenyataan Facebook Najib itu turut menyertakan infografik Zuraida, Mohamad, dan Ahmad Faizal yang disiarkan Bernama sempena pelantikan bagi jawatan masing-masing.

 Berdasarkan penelitian grafik yang dikongsi Najib, biodata Zuraida tertera sebagai pemegang ijazah Sains Sosial dari National University of Singapore (NUS), yang sebelum ini dinafikan beliau.

Infografik bagi Ahmad Faizal pula dinyatakan sebagai pemegang ijazah Pengajian Perniagaan di Universiti Edith Cowan, Perth Australia.

Dalam penafiannya, Ahmad Faizal menjelaskan bahawa beliau melanjutkan pelajaran ke luar negara tetapi tidak berjaya membawa pulang ijazah. 

Sementara bagi infografik Mohamad, sekadar tertera "menyambung pelajaran dalam jurusan pemakanan di Institut Teknologi Mara" tanpa menyatakan sebagai pemegang ijazah.

Dalam penafiannya sebelum ini, Mohamad berkata beliau dari dulu tidak pernah mengaku tamat pengajian dan mengaku dibuang dari ITM.

Gesa siasat

Sementara itu, dalam kenyataan sama hari ini, Najib menggesa kementerian Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh menyiasat perkara berkenaan.

"Ini sumber dari Bernama, bukan dari Wikipedia sahaja.

"Setahu saya, adalah satu kelaziman untuk Bernama meminta biodata dari pasukan pembantu khas dan setiausaha akhbar Menteri apabila seseorang menteri baru dilantik untuk digunakan dalam laporan Bernama.

"Selepas penafian-penafian ini, Bernama di bawah kerajaan PH telah jelas didapati mengeluarkan berita tidak sahih kepada rakyat.

"Persoalan sekarang ialah adakah editorial Bernama yang telah membuat kesilapan ataupun pasukan menteri sendiri yang memberi informasi yang tidak sahih?

"Adakah Menteri Komunikasi dan Multimedia dari DAP yang juga menteri jaga Bernama akan menyiasat siapa sebenarnya punca berita tidak sahih ini?" soalnya.

Malaysiakini sedang menghubungi Bernama bagi mendapatkan ulasan berhubung perkara ini.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Ketua Pengarang Bernama, Zakaria Wahab berkata infografik berkenaan disiarkan daripada maklumat yang sudah disiarkan sebelum ini.

"Daripada surat khabar, parti-parti berkenaan punya rekod. Laporan yang sudah disiarkan yang orang semua tahu.

"Biodata semua tu sebelum pilihan raya. Jadi kita dapat maklumat tu daripada rekod-rekod mereka. Benda yang dah disiarkan.

"Maksudnya bukanlah kita mereka-reka. Memang semua yang dah disiar dan orang ramai dah tahu. Kita cuma buat infografik saja," katanya.

Ditanya sama ada pihaknya akan membuat pembetulan, Zakaria berkata: "Kalau ada permintaan untuk diperbetulkan, kami perbetulkanlah. Kalau tak ada, tak adalah. Itu saja."

Lihat Komen
ADS