Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lim: Tajaan diluluskan 2017, Asyraf Wajdi tuju kepada Umno?
Diterbitkan:  Feb 14, 2019 3:56 PM
Dikemaskini: 7:56 AM

Penajaan syarikat judi terhadap lawatan sambil belajar Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun dan rombongannya ke Turki bertambah panas dengan lebih ramai pemimpin politik khususnya dari Umno dan PAS yang membidasnya.

Bagaimanapun, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng hari ini tampil mendedahkan bahawa kelulusan penajaan lawatan itu oleh Lembaga Pengarah Totalisator Malaysia dibuat pada 2017.

"Jadi adakah Asyraf Wajdi ketika itu kalau tak silap saya ialah timbalan menteri, adakah beliau tuju kepada diri sendiri?

“Kos lawatan itu adalah RM184,685 ditaja oleh syarikat berkanun Totalisator Malaysia,” kata Lim yang dipetik portal Utusan Malaysia selepas menghadiri Majlis Mesra Warga Kementerian Kewangan dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia 2019 di Putrajaya hari ini.

Ketua Pemuda Umno, Asyraf Wajdi Dusuki semalam mendakwa Lim tidak berperasaan sensitif terhadap hukum Islam dan sentimen rakyat dengan membenarkan pembiayaan seumpama itu.

Mengulas lanjut, beliau berkata lembaga pengarah Totalisator Malaysia tidak merujuk kepada Kementerian Kewangan dan tanpa pengetahuan dirinya.

“Saya hanya baca di surat khabar baru tahu ada perkara sedemikian," kata Lim.

Ditanya adakah amalan menaja pegawai-pegawai kerajaan seumpama itu normal, Lim mengulangi bahawa terdapat kuasa untuk membuat keputusan sedemikian tanpa merujuk kepada Kementerian Kewangan atau menterinya.

Terdahulu, Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin mengesahkan Fuzi mengetuai sekumpulan pegawai kanan polis dalam lawatan ke Istanbul untuk belajar kaedah membanteras perjudian atas talian dengan tajaan lembaga itu.

Ia susulan dakwaan laman Sarawak Report pada 10 Februari lalu bahawa kira-kira 16 pegawai kanan polis menyertai lawatan itu, dan kemungkinan sejumlah RM312,441 telah dibelanjakan untuk penerbangan kelas perniagaan dan penginapan lima bintang.

Lim semalam turut mendedahkan Kementerian Kewangan tidak pernah meluluskan lawatan itu kerana ia diluluskan Lembaga Pengarah Totalisator Malaysia yang merupakan syarikat di bawah kementerian tersebut manakala sumber kewangan bagi lawatan berkenaan ditaja oleh syarikat nombor ramalan, Da Ma Cai.

Lihat Komen
ADS