Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Lawatan polis ke Turki ditaja Da Ma Cai, kata Guan Eng

Lawatan sambil belajar polis diketuai Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun ke Turki dibayar oleh syarikat loteri Da Ma Cai, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Beliau berkata walaupun lawatan itu diluluskan Lembaga Totalisator - sebuah agensi bawah Kementerian Kewangan - perbelanjaannya bukan daripada kerajaan.

"Dana bukan daripada Kementerian Kewangan.

"Sumber dana daripada Da Ma Cai, sebuah syarikat ramalan nombor. Mereka tidak dapat sesen daripada kita," katanya kepada pemberita di Putrajaya, hari ini.

Lembaga Totalisator ditubuhkan di bawah Akta Perlumbaan (Lembaga Totalisator) 1961 untuk mengawal dan menyelia semua perjudian lumba kuda di Malaysia.

Terdahulu, Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin mengesahkan Fuzi mengetuai sekumpulan pegawai kanan polis dalam lawatan ke Istanbul untuk belajar kaedah membanteras perjudian atas talian dengan tajaan lembaga itu.

Ia susulan dakwaan laman Sarawak Report pada 10 Februari lalu bahawa kira-kira 16 pegawai kanan polis menyertai lawatan itu, dan kemungkinan sejumlah RM312,441 telah dibelanjakan untuk penerbangan kelas perniagaan dan penginapan lima bintang.

Muhyiddin bagaimanapun berkata tidak pasti berapa ramai yang menyertai lawatan itu.

Sementara itu, Lim berkata prosedur menyatakan Lembaga Totalisator mempunyai kuasa untuk meluluskan tajaan tanpa perlu merujuk kelulusan Kementerian Kewangan.

Beliau berkata akan mengkaji sama ada sebarang penajaan pada masa akan datang perlu mendapatkan kelulusan kementerian.

Lihat Komen
ADS