Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Khalil: Ada pihak dalam PH ingkar, cabar Dr M
Diterbitkan:  Feb 19, 2019 11:56 AM
Dikemaskini: 4:20 AM

Ketua Pemuda PAS Muhammad Khalil Abdu Hadi mendakwa ada pihak dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang ingkar dan mencabar Dr Mahathir Mohamad selaku perdana menteri dan pengerusi gabungan itu.

Beliau berkata, perkara itu boleh dilihat melalui beberapa peristiwa - termasuk apa yang menurutnya sebagai usaha PKR untuk merampas kedudukan menteri besar Kedah daripada Bersatu, sehinggalah kepada perkembangan sekarang.

"Contoh jelas hari ini, belum lagi mesyuarat Majlis Presiden PH, PKR awal lagi sudah sebut akan bertanding di (PRK) Rantau dan umum itu kerusi miliknya. Tetapi bila Bersatu mahu lebarkan sayap ke Sabah, disuruh pula berbincang dan dibawa ke mesyuarat Majlis Presiden PH.

"Jika diamati, memang ada amalan double standard dan pergolakan dalam PH. Sebenarnya berlaku amalan 'pengingkaran' dalam kerajaan PH yang seolah-olah mencabar dan ingkar kepada Mahathir selaku perdana menteri dan pengerusi gabungan itu," katanya dalam kenyataan.

Semalam, Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail berkata kerusi DUN Rantau sebagai milik parti itu berdasarkan amalan status quo. Untuk rekod, PKR bertanding di DUN itu sejak mula-mula menyertai PRU iaitu pada 1999.

Berkenaan kemasukan Bersatu di Sabah, langkah itu kurang disenangi - termasuk oleh Warisan di peringkat awal - kerana persetujuan sebelum PRU ke-14 adalah parti itu tidak akan membuka cawangan di negeri itu.

Namun Presiden Warisan Mohd Shafie Apdal semalam berkata pihaknya tidak boleh menghalang Bersatu jika ingin meneruskan hasrat itu.

Semalam, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan mendakwa dua parti komponen Pakatan Harapan (PH) mungkin merancang untuk menyingkirkan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad melalui undi tidak percaya di Parlimen.

Kenyataan itu bagi menjelaskan surat sokongan PAS yang menurutnya dibuat bagi menyatakan sokongan terhadap Mahathir jika ia berlaku.

Ia susulan kenyataan Mahathir pada 16 Februari lalu bahawa Hadi dalam satu pertemuan dengannya memberi perakuan untuk tidak menyokong Umno dalam PRK Semenyih dan ia disokong secara kenyataan bertulis yang ditandatangani.

Semalam, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menafikan dakwaan Takiyuddin dan menggesa beliau membuktikan perkara itu.

Mengulas kenyataan itu, Khalil berkata tiada sebab untuk Lim mendesak PAS menunjukkan bukti kerana beliau boleh bertanya sendiri kepada Mahathir.

"Sebenarnya Lim tidak berani tanya Mahathir kerana ia hanya akan mendedahkan pekung yang telah lama bernanah dalam Pakatan Harapan (PH).

"Jika benar Lim dan DAP menyokong kepimpinan Mahthir, adakah mereka setuju dan menyokong Mahathir menjadi perdana menteri sehingga PRU ke-15?" soalnya dalam kenyataan, hari ini.

Khalil turut mengingatkan bahawa DAP dan PH menjadi kerajaan kerana sokongan rakyat, terutama orang Melayu, terhadap Mahathir, bukan kerana parti itu kuat dan disokong rakyat.

Lihat Komen
ADS