Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Shafie: Warisan tak boleh halang Bersatu masuk Sabah
Diterbitkan:  Feb 18, 2019 4:15 PM
Dikemaskini: 9:43 AM

Presiden Warisan Mohd Shafie Apdal berkata mereka tidak boleh menghalang Bersatu jika parti itu benar-benar berhasrat melebarkan sayap ke negeri itu.

"Berkenaan kemasukan Bersatu ke Sabah, kita tak boleh halang mereka, atau mana-mana parti (yang mahu berbuat demikian).

"Undang-undang kita membolehkan penubuhan parti baru," katanya yang juga ketua menteri Sabah dalam kenyataan hari ini.

Justeru, beliau menggesa para penyokong Warisan agar tidak melihat perkara itu secara emosi dan tetap memberi tumpuan dalam usaha membangunkan Sabah.

"Saya sedar perasaan penyokong kita dan juga penduduk Sabah berkenaan keputusan Bersatu.

"Nasihat saya adalah jangan emosional dan kita tetap fokus untuk membangunkan negeri demi manfaat penduduk Sabah. Tadbir Sabah sebaik mungkin dan pastikan hak kita dikembalikan dan ditegaskan seperti dalam Perjanjian Malaysia 1963 yang kekal menjadi keutamaan kita," katanya lagi.

Sebelum ini, hasrat Bersatu itu dibantah Warisan berdasarkan persetujuan sebelum PRU ke-14 bahawa parti itu tidak akan ke negeri itu.

Bagaimanapun Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad berkata langkah membuka cawangan di sana untuk mengukuhkan kedudukan kerajaan negeri yang dipimpin Warisan, bukan menentangnya.

Dalam pada itu Shafie berkata lagi, Warisan akan terus bekerjasama dengan PH.

"Kita telah bekerjasama dengan PH sebelum ini, dan selepas PRU kita sama-sama menubuhkan kerajaan persekutuan. Kita akan terus bekerjasama dengan mereka untuk kepentingan rakyat," katanya lagi.

 

Jumaat lalu, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, yang juga Pengerusi Bersatu, mengumumkan keputusan parti untuk melebarkan sayapnya ke Sabah.

Pada masa sama, bekas Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah, Hajiji Noor mengesahkan lima anggota parlimen dan lapan Adun yang keluar Umno Disember lalu, menyerahkan permohonan untuk menyertai Bersatu.

Anggota Parlimen Beluran Dr Ronald Kiandee juga mengesahkan kira-kira 100,000 bekas anggota Umno bersedia untuk menyertai Bersatu.

Lihat Komen
ADS