Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Suruhanjaya Diraja (RCI) bagi menyiasat kes salah laku badan kehakiman merupakan sesuatu yang amat berguna, kata bekas menteri undang-undang Zaid Ibrahim.

"Badan kehakiman terpalit dengan berita buruk dan kadang-kadang khabar mengejutkan mengenai ketidakadilan kehakiman, salah laku dan kemungkinan perbuatan jenayah didakwa dilakukan oleh beberapa hakim.

"Ini bermula pada zaman ketika Eusoff Chin menjadi ketua hakim negara (dari tahun 1994 hingga 2000)," katanya kepada Malaysiakini petang ini.

Gesaan penubuhan RCI dipergiat berikutan pendedahan Hakim Mahkamah Rayuan Hamid Sultan Ab Backer dalam afidavitnya pada 14 Februari lalu.

Antara lain, Hamid mendakwa terdapat hakim tertentu yang bersubahat dengan ahli politik pemegang jawatan kerajaan dan pihak swasta untuk menipu dana awam.

Beliau juga melahirkan rasa kesal terhadap Ketua Hakim Negara Richard Malanjum kerana menolak penubuhan RCI untuk menyiasat salah laku badan kehakiman ini.

Campur tangan kehakiman

Affidavit itu difailkan Hamid sebagai sokongan terhadap permohonan peguam Sangeet Kaur Deo untuk mengisytiharkan ketua hakim negara gagal mempertahankan keutuhan badan kehakiman.

Permohonan Sangeet ini mengenai dakwaan berlaku campur tangan kehakiman dalam perbicaraan kes hasutan mendiang bapanya Karpal Singh.

Sementara itu, Zaid juga berkata tiada tindakan diambil dengan pendedahan yang dibuat hakim Syed Ahmad Idid pada pertengahan 1990-an.

"Sekarang seorang hakim kanan (Hamid) telah mendedahkan pendedahan yang lebih mengejutkan. RCI ini akan memberi banyak manfaat kepada badan kehakiman. 

"Walaupun kami tidak dapat menghukum seseorang dari masa lalu, namun ia akan mendatangkan kebaikan pada masa depan," katanya.

Pada tahun 1996, ketika Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri, Syed Ahmad dikatakan terpaksa meletak jawatan kerana menulis surat tanpa nama yang dihantar kepada sekumpulan pegawai tinggi yang terpilih.

Antara lain, surat itu mendedahkan Eusoff telah bercuti ke New Zealand dengan peguam kanan VK Lingam, yang mewakili beberapa kes mahkamah yang dibicarakan di hadapan ketua hakim negara.

Bagaimanapun, surat Syed Ahmad itu secara misteri tersebar di beberapa jabatan kerajaan dan kemudian diedarkan kepada media.

Lingam kemudian dibabitkan dalam skandal sebuah video 'correct, correct, correct' yang menunjukkan beliau sedang berbual di dalam telefon bersama ketua hakim besar Malaya pada ketika itu Ahmad Fairuz Sheikh Halim pada 2001 mengenai pelantikan hakim.

Susulan itu RCI ditubuhkan pada 2008 ketika pentadbiran perdana menteri Abdullah Ahmad Badawi. Pasa masa itu, Zaid juga merupakan menteri undang-undang.

RCI dengan lima anggota itu mencadangkan tindakan diambil terhadap Lingam, Eusoff dan empat yang lagi, termasuk Mahathir.

Bagaimanapun sehingga hari ini, tiada tindakan terhadap salah seorang daripada enam individu yang dinamakan RCI itu.

Mahathir ketika ditanya sekiranya kerajaan akan menubuhkan sebuah RCI mengenai tuduhan terbaru minggu lalu, beliau menjawab: "Saya tidak bersedia untuk mengatakan apa-apa. Jika ada RCI, kita akan mengkaji cadangan terlebih dahulu. "

Zaid enggan berkongsi pendapat tentang siapa yang sepatutnya dilantik sebagai ahli panel jika kerajaan memulihkan penubuhan sebuah RCI.

"Kerajaan Pakatan Harapan tahu siapa yang boleh berkhidmat dalam suruhanjaya itu. Mereka sentiasa melantik orang yang tepat untuk pekerjaan itu, "katanya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS