Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hisham: Saya tiada apa nak disembunyi
Diterbitkan:  Feb 21, 2019 3:28 PM
Dikemaskini: 9:03 AM

Bekas menteri pertahanan Hishammuddin Hussein mengalu-alukan siasatan terhadapnya dan pihak lain berkenaan tuduhan bahawa urus niaga tukar tanah (land swap) telah menyebabkan kementerian itu mengalami kerugian RM500 juta.

"Saya tidak mempunyai apa-apa untuk disembunyikan," kata Hishammuddin dalam satu catatan di Facebook hari ini.

Anggota Parlimen Sembrong berkata dakwaan itu hanyalah tindakan untuk mengalih perhatian daripada kepimpinan kerajaan Pakatan Harapan.

"Bukan rahsia lagi bahawa matlamat utama kerajaan PH adalah untuk menggali seberapa banyak yang mereka dapat untuk mencari kesalahan dengan kerajaan sebelumnya dan bukannya menjalankan kerajaan.

"Penemuan ini hanyalah mengalih perhatian rakyat daripada fakta bahawa mereka tidak melakukan apa-apa. Saya mesti ulang lagi - sudah tiba masanya untuk menteri mengambil tempat.

"Sudah tiba masanya untuk mereka menjaga keselamatan angkatan bersenjata dan keluarga mereka, sudah tiba masanya untuk mereka menjaga kebajikan veteran tentera kita yang telah melindungi negara kita. Cukup-cukuplah tu," katanya.

Terdahulu Menteri Pertahanan Mohamad Sabu mendedahkan urus niaga melibatkan Kementerian Pertahanan itu telah mengakibatkan kerugian lebih RM500 juta.

Mohamad berkata perkara itu didedahkan dalam laporan penelitian khas Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan yang dipengerusikan bekas ketua audit negara Ambrin Buang.

Malaysiakini difahamkan terdapat 16 projek sebegitu sejak 1997 sehingga sekarang.

Ini termasuk pembinaan kem tentera Paloh yang terletak di kawasan Hishammuddin di Sembrong.

Selain Hishammuddin, antara individu lain yang memegang portfolio sebagai menteri pertahanan sejak 1997 ialah Syed Hamid Albar, Najib Razak, Abdullah Ahmad Badawi dan Ahmad Zahid Hamidi.

Lihat Komen
ADS