Paling Popular
Terkini

Tiada campur tangan politik dalam Petronas sejak pertukaran kerajaan tahun lalu, kata Ketua Pegawai Integriti Petronas Rohaizad Yaacob.

"Saya tak nampak campur tangan politik dalam Petronas setakat ini.

"Sejak kerajaan baru. Saya bersama Petronas sejak sebelum pertukaran kerajaan. Jadi, dari apa yang saya nampak, tak ada (campur tangan)," katanya.

Rohaizad berkata demikian ketika ditemui pada konferens Konflik Kepentingan yang dianjurkan Pusat Anti Kronisme dan Rasuah (C4) di Kuala Lumpur hari ini.

Rohaizad merupakan salah seorang ahli panel dalam forum yang membincangkan isu ketelusan dan konflik kepentingan dalam program itu.

Pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu juga berkata, tiada pelantikan politik dalam pengurusan Petronas.

Jelasnya, pihak pengurusan bersikap profesional bagi memastikan Petronas terus berkembang dan menjana pendapatan untuk negara.

Tambahnya, pemimpin dalam pengurusan Petronas menumpukan pada usaha mengembangkan perniagaan.

"Daripada apa saya tengok dalam Petronas, mereka (pihak pengurusan) sangat profesional dalam kerja mereka.

"Apa-apa yang mereka buat, mereka bercakap dari segi strategi perniagaan," katanya.

Rohaizad turut berkata bahawa Petronas sudah tidak lagi memberikan sumbangan politik sejak tahun lalu kerana tidak ingin dilihat mempunyai hubungan dengan mana-mana parti politik.

Sumbangan politik seumpamanya sudah dihentikan sejak sebelum pilihan raya umum (PRU) lagi, kata Rohaizad.

"Kita sudah tak beri sumbangan politik. Kita berhenti tahun lalu kerana kita tak mahu orang fikir kita mempunyai hubungan dengan mana-mana parti politik,," katanya.

Bagaimanapun, jelasnya, Petronas masih menyalurkan sumbangan melalui program tanggungjawab korporat sosial mereka.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS